SURVIVAL PELAJAR DIPLOMA

 28 nov 22

Saya tidak berani berbicara tentang kemenjadian pelajar lepasan spm yang memilih program diploma sebelum ini.


Namun kali ini saya akan ceritakan kerana ianya menampakkan hasil dengan anak sendiri..

Ini posting fb saya tentang matrikulasi/asasi vs diploma 

Berbekalkan result 7A dalam SPM, Addina melanjutkan pelajar dalam diploma IT di MMU. Ini antara kelebihan pelajar diploma, mereka boleh terus memilih kursus yang diminati selepas SPM. 

 Untuk pelajar 7A dan 6A SPM meneruskan pengajian peringkat diploma, mereka ini dikira geliga di dalam kelompok pelajar diploma. 

Mereka lebih mudah menerima kandungan pembelajaran. Dipendekkan cerita program diploma agak mudah untuk mereka. 

Jika mereka dapat memberikan fokus yang baik, mereka boleh score cgpa 4.00 di akhir tempoh pengajian dua tahun setengah. 

Dengan potensi yang mereka miliki, mereka dapat menguasi kandungan pembelajaran dengan lebih baik berbanding pelajar lain. 

Alhamdulillah, Addina menamatkan pengajian dengan cgpa 3.92 dan terus menyambung pengajian ke tahun dua. 

Pada ketika ini, dia sudah menyamai rakan-rakan yang mendaftar melalui asasi. Malah dari segi jam kredit, dia mendahului yang lain dengan lebihan beberapa jam kredit. 

Satu lagi faedah yang ketara, dengan keputusan diploma yang sangat baik, peluang untuk memohon penajaan lebih terbuka luas. 


Sedang memohon biasiswa ytm. Doakan. 

Cganis- semoga semua doa Addina dimakbulkan. 





PART 4 : APA PENGAKHIRANNYA?

Wah, panjang lebar juga aku kisahkan bab pilih sekolah ni. Kita baca sharing di bawah tentang lepasan SPM. 

Sebagai kesimpulan, aku tengok pelajar ni, ada macam-macam jenis. Yea lah, rezeki Allah pun ya juga. Kita tidak tahu mana yang terbaik untuk kita. Kerja Allah je semua tu. 

Ada anak kawan aku, SPM 9A. Dapat la offer sambung belajar ke luar negara. Seronok, dapat merasa pengalaman tinggal di luar negara. Tapi pinjaman yang dia sign.. Fuh! 500k lebih kurang. Allah, bila nak habis bayar tu? 

Ada anak kawan lain pula, dapat 9A juga. Masuk Asasi. Niat asal nak buat kursus perubatan. Final cgpa dia 3.8 something. Kursus yang UPU offer, matematik. Budak tu langsung tak minat. Last-last mak dia bawak masuk private, buat kursus berkaitan perubatan juga.

Ada anak kawan lain, dapat 5A SPM. Masuk matrik. Niat asal nak buat perubatan juga. Alhamdulillah, score 4.00 setiap semester. Sekarang dah tahun 3, bakal doktor.

Ada pelajar aku, lemah budaknya. Selalu parent kena panggil datang sekolah sebab akademik teruk. 2 tahun lepas dia datang beraya kat rumah aku. Dia kata dia belajar kat Sunway College. Aku tanya, result ok tak? Dia pun excited cerita, gedebuk.. gedebak.. Okay sangat!

Anak aku, SPM 7A. Dia tak nak belajar sains dah. Aku kata ok, kita minta diploma. Alhamdulillah, grad diploma sains  komputer dgn cgpa 3.92. Sambung degree terus masuk tahun 2 sebab boleh transfer kredit hours.

Begitulah beberapa kisah anak-anak kita. So, selagi mereka nak belajar, kita beri galakan. 

Sediakan duit untuk tabung pendidikan mereka. Itu yang paling penting.

Baca Part 1

Baca Part 2

Baca Part 3

PART 3: PILIH SEKOLAH ANAK

Apabila sampai time anak ke 2, memang aku dah nekad nak hantar dia ke sekolah kluster sahaja. 

Alasannya, tak mau dia mengalami masalah stress sama macam kakak dia. Result Upsr dia 6A. Anak lelaki. 

Bila dah duduk di rumah ni, masalah lain pulak timbul. Main game tak reti nak berenti. Solat nak kena diingatkan, kena dilatih. 

Part ni, aku rasa kalau di asrama, better la. Kita sebagai parent kena main peranan. Bab bersosial, adab.. Semua kita nak kena ajar.

Kemudian, masalah dengan smk ni, guru dia selalu tak cukup. Guru yang ada akan cover kelas peperiksaan, macam tingkatan 5. Kelas-kelas lower form terbiar sedikit.

Kalau kat sbp atau mrsm, Insya-Allah tak ada masalah ni. 

Masalah aku sebagai parent ni, aku rasa cikgu smk tak cukup all out untuk pelajar. Aku tahu macamana kami kat sekolah asrama penuh kerja. Tapi, aku tengok anak aku kurang stress. Bagus lah di situ. 

Sebagai parent, aku rasa kita tak boleh lari dari keinginan nak tengok result gempak anak. Terutama aku yang memang mengajar budak2 pandai. 

Kita dah tersepit di antara nak anak cemerlang dan dia mungkin stress atau gembira belajar tapi result so so saja. 

At the end, apa yang kita nak sebenarnya?


Baca part 1

Baca part 2

#cikguanisbelajar 

Apa kesimpulannya? 


PART 2: PILIH SEKOLAH ANAK

Masa anak sulung aku dulu, aku plan hantar dia ke sekolah kluster juga. Bagi aku, bagus juga biarkan dia bergasak dengan budak2 Cina kat sekolah kluster tu. Baru dia tahu langit tu tinggi atau rendah.

Tapi rezeki dia, Allah hantar ke Kolej Permata Pintar. Zaman tu, KPP di bawah naungan Rosmah Mansur. Mewah.

Merasa jugak la dia ke sana sini wakil kolej ke peringkat kebangsaan. Terpilih juga untuk program pertukaran pelajar ke Kazakhstan selama 2 minggu. Aktiviti koku KPP memang terbaik. 

Aku tengok anak aku agak kompetetif dan boleh buat keputusan sendiri. Memang aktiviti luar kelas itulah yang banyak membentuk sifat peribadi dia. 

Namun dari segi akademik, KPP bukan tempat pensyarah drill pelajar. Mereka tidak dilatih seperti guru2 di smk, di luar. Hanya pelajar yang memang bijak sejak azali, akan dapat 9A.

Anak aku ada potensi,tetapi dia hanya dapat 7A. Aku rasa kalau dia di mrsm atau sbp, Cikgu2 akan polish pelajar2 seperti dia untuk dapat 9A.

Walaupun kami rasa dia gembira di KPP, dia tetap ada masalah stress dan depression yang agak serius. 

Aku terus buat keputusan. Adik dia nanti, tak payah masuk asrama, duduk sahaja di rumah. 

Ini juga yang aku perhatikan sekarang di kalangan pelajar-pelajar aku. Ada di antara mereka yang tidak tertanggung masalah stress. Ada yang di bawah pengetahuan ibu bapa. Namun, aku percaya ramai ibu bapa tidak tahu pun anak mereka stress di sekolah berasrama. 

Walaubagaimanapun, sumpah kami laki bini tidak menyesal hantar dia ke situ.

Sesudah dia tamat belajar di KPP, aku tertanya, apa yang kami sebagai ibu bapa hendak sebenarnya? Apa yang kami harapkan? 


Baca part 3

Baca part 1

Bahagian akhir

#cikguanisbelajar



PART 1: PILIH SEKOLAH UNTUK ANAK

 26 OKTOBER 2022

Hari ni, Amani bawa balik kertas Tahap pencapaian (tp) yang terkini. Katanya, cikgu cakap incase nak mohon mrsm atau sbp.

Hari ni, aku nak tulis blog ni, sebagai seorang mak. Itu yang mode gantinama dah bertukar tu. Biasa aku guna 'saya'. 

Honestly, aku tidaklah excited  sangat nak mohon sekolah-sekolah berprestij ni.

Entahlah, pada asalnya aku cadang nak masukkan Amani ke Sbp. Berdasarkan pemerhatian aku, Sbp ni tempat menjana kecemerlangan pelajar jugak. Cikgu dia pun dahsyat2. Even lebih dahsyat daripada Cikgu2 mrsm.

Tapi bila fikirkan kembali, apa yang kami laki bini kejar sebenarnya.?

Of course kita nak anak cemerlang akademik. Dapat sambung belajar ke sekian-sekian.

Aku mengajar di sekolah berasrama penuh terkemuka. Dahulupun aku bekas pelajar mrsm. Tapi, tak ada seorang pun anak aku, aku hantar ke mrsm.

Lately ni, aku tengok makin teruk remaja sekolah menengah 'dirobotkan'. Kat sekolah aku lagilah. Mak ayah yang hantar anak ke sini, kalau boleh nak anak mereka dapat 'straight' A dalam SPM. 

Pihak sekolah pun, macam2 program buat untuk pelajar. Seingat aku, dulu ada slot untuk prep petang.. prep malam. Prep hujung minggu. Sekarang, bila aku suruh pelajar buat kerja sekolah masa prep, mereka cakap, "cikgu, kami mana ada masa prep." 

Bila ada masa senggang, mereka siap tanya aku, "cikgu, kami nak buat apa nanti masa free tu ?" 

Tu dia, sampai self management pun out. Tak ada planning. Tak ada jadual sendiri. Tak tahu nak buat apa. Semua nak kena diarah, dibagitahu. 

Sedih aku tengok. 

#cganisbelajar

Baca part 2

Baca part 3

Bahagian akhir



GP 9 KALI PERTAMA

 Eksperimen 3: Kali pertama. 


Sepanjang minggu ini, saya terpaksa menggunakan surau untuk mengadakan kelas kerana makmal sedang dibaikpulih. 


Kebetulan telah masuk waktu zuhur ketika kami  rancak berbincang. Saya menawarkan pembesar suara kepada beberapa orang pelajar lelaki untuk melaungkan azan. 


"Saya, teacher." Izz sukarela berdiri dan menyambut pembesar suara daripada saya. "Ini kali pertama saya alunkan azan sejak di sekolah menengah, teacher." 


"Wah! Dah lama betul sejak kali terakhir, " saya membalas. Izz kini berada di tahun akhir sekolah menengah. 


"Apa yang mendorong awak hari ini?" tanya saya. "Saya rasa selesa dengan semua orang di sini," balas Izz. 


Saya senyum sebagai tanda terima  kasih.


Saya selalu menggalakkan pelajar untuk menjadi yang pertama. Biarlah orang lain kaku. Anda jadilah yang pertama itu. 


Yang pertama turun ke surau waktu subuh. Yang pertama menghantar tugasan. Yang pertama menghulurkan bantuan. Yang pertama menjadi sukarelawan. 


Mengambil langkah pertama itu memang sukar. Ianya memerlukan dorongan emosi yang  melebihi perasaan malu. Memerlukan kekuatan mental tanpa memberi alasan. 


Perkara yang sama, saya pesan pada anak-anak pelajar yang memulakan pengajian di kolej. Semester pertama, paling mudah. Pastikan dapat keputusan akademik 4.00. 


Semester pertama dapat 4.00? Apa yang hendak dihairankan sangat? Bukan susah sangat pun, hanya belajar subjek asas sahaja. 


Betul! Inilah namanya peluang dan peluang bukan selalu datang. 


Pengajian dalam semester-semester seterusnya pasti lebih sukar. Namun, mengetahui yang mereka boleh melakukannya dengan baik pada semester satu, semuanya menjadi lebih mudah dan lancar. Bukankah indah, begitu? 


Jadi, apa eksperimen 'kali pertama' anda?


Semoga kejayaan eksperimen kali pertama anda, menjadi batu loncatan kepada kejayaan seterusnya. Insha-Allah, berdoalah! 


#cganis - suka pelajar berebut-rebut mengangkat tangan hendak menjawab soalan.

#jurnalcikguanis

GP HARI 10 POSITIVITI DI MEDIS SOSIAL

Eksperimen 4 : Menyebarkan positiviti. 


"Saya tidak boleh kekal dalam Twitter lama-lama sebab tidak tahan dengan bahasa yang digunakan. Fb dan Ig okay." Respons saya kepada pelajar bila mereka tanya tentang akaun Twitter saya. 


Kata pelajar, "teacher, Fb untuk orang berumur macam teacher." Saya turut tergelak.


"Jadi, sesekali awak patut baca catatan di Fb. Yang menulis di situ, mereka yang berpengalaman, lebih awal makan garam." Cadang saya kepada mereka. Mereka mengangguk tanda setuju. 


Aktif di media sosial jika tidak dikawal, akan membazir masa. Tetapi, jika jelas tujuannya akan memberi banyak manfaat. 


Saya kongsikan beberapa  adab dan tindakan positif yang boleh diamalkan di media sosial.


1. Untuk setiap hantaran yang kita baca, tekan SHARE kalau anda rasa hantaran tersebut bermanfaat. Tulislah komen TERIMA KASIH.


2. Jika tidak setuju, kuis skrin ke bawah laju-laju atau beri PENDAPAT MEMBINA di ruangan komen, jangan beri komen yang sarkastik atau sinis.


3. Jawab PERTANYAAN dengan niat membantu, jangan beri jawapan yang memperlekehkan orang lain.


4. JANGAN TAMBAH 'kuah' pada komen yang tidak elok.


5. Dan elakkan COPY PASTE. Hargai buah fikiran penulis hantaran asal.


Kawan-kawan Facebook,


Ingatlah satu perkara. Di setiap tindak-tanduk kita, ada Malaikat yang mencatat. Doakan semoga buku catatan kita, dicatat dengan perkara yang baik-baik sahaja.


Semoga setiap hantaran dan kelik kita pada butang tertentu, akan memberikan pahala yang mengalir berterusan sebagai bekalan di akhirat.


#cganis - suka cari inspirasi dari group Fb. 

#jurnalcikguanis 

GP 11 PROSES BUKAN HASIL

 Eksperimen 5 : Proses Bukan Hasil


Dalam kelas pada hari Jumaat lepas, saya katakan kepada pelajar:


"Target kita untuk ujian akan datang adalah mendapat markah yang lebih baik daripada ujian lepas, boleh kan? Kalau ada peningkatan gred lagi bagus." 


"Teacher, tak nak kami dapat A?" 

"Dapat A adalah bonus." Jawab saya, sambil mata mengimbas setiap pelajar yang ada. Saya mahu mereka 'rasa' kejujuran permintaan saya. 


Mana mungkin di sekolah berasrama penuh terkemuka muka ini, bilangan A dikesampingkan. Sudah hilang akal barangkali cikgu yang seorang ini. 


Ada pelajar, jika diletak kambing sekalipun di hadapan kelas, dia akan pandai.

Ada pelajar, tidak masuk kelas kerana aktif  ko-kurikulum, tetap juga skor.

Ada pelajar, hadir tuisyen berbayar saban hari, masih tidak menjadi.


Lantas, apa yang kita harapkan daripada mereka? Semua mendapat A lurus?

Mustahil! 


Untuk kesekian kali, kita boleh mencuba eksperimen ini. Beri perhatian kepada proses, bukan hasil. 


Galakkan mereka berusaha secara berterusan. Kita belajar bukan untuk mendapat A semata-mata. 


Belajar adalah tanggungjawab kita untuk mengenal ilmu Allah. Jika Allah izin, bukan sahaja kita mendapat A, mungkin dapat pakej pahala berganda. 


#cganis - dengar kata, kalau pelajar tak skor, cikgu kena pindah. 😬😬

#jurnalcikguanis

GP 13 KONFLIK

 School vibes 1 : Menangani Konflik


Memang menjadi kebiasaan, kami tiba awal di sekolah setiap pagi. Sambil membetulkan tali lehernya, mata Amani liar memandang keluar tingkap. 


 "Aik, kenapa semua orang pakai baju PJ hari ni?" 


"Ujian segak kot," jawab saya acuh tak acuh. Akhir-akhir ini, memang musim ujian segak di kebanyakan sekolah.


"Betul la, kita kena balik tukar baju ni, mama.." 


Kalau diikutkan hati, malas saya hendak berpusing balik ke rumah pada waktu  kemuncak begini. Tapi, takkanlah Amani hendak meneruskan ujian segak dengan pakaian rasmi pengawas, lengkap berkot dan bertali leher? 


Saya tidak mahu meletakkan cikgunya dalam keadaan serba salah. 


Tanpa membuang masa, kami bergegas balik ke rumah dan kembali semula ke sekolah. Kami tiba tepat pada jam 7.30 pagi. 


Saya memandang sekilas pada cermin pandang belakang. Mata Amani sudah berkaca semasa kereta mendaki bukit kecil di hadapan sekolahnya.


Ini kali pertama Amani lambat ke sekolah. Konflik terbesar bagi seorang pelajar yang sangat 'obedient.' 


"Apa Amani nak cakap, kalau cikgu tanya kenapa lambat? Nanti kena marah .. "


"Ceritalah perkara yang sebenar, kalau cikgu marah, minta maaf sahaja," pantas saya menjawab supaya Amani cepat beredar. Saya juga mengejar masa tetapi masih mahu berkongsi rasa. 


Saya meneruskan perjalanan ke sekolah. Amani pasti akan ditegur guru kerana lambat. Tambahan pula dia pengawas bertugas hari ini. Tidak mengapa. 


Sesekali, biarlah dia merasai perasaan itu. Perlu! Kerana hidup ini bukannya indah setiap hari. 


Kita tidak perlu menjadi ibu bapa sempurna sehingga perlu menyelesaikan konflik untuk anak. Tidak perlu bersusah payah bertemu guru untuk memberi penjelasan. 


Beri anak peluang untuk belajar bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku. Biar mereka tahu!


#cganis - kena ajar anak 'survival at school' 

#jurnalcikguanis

GP 14 SEKOLAH MEMIMPIN

 School vibes 2 : Ada Apa Dengan Sekolah?


Pagi terasa nyaman. Dingin. Mungkin kerana malam tadi hujan mencurah-curah turun ke bumi. Alhamdulillah.


 

Hari ini peperiksaan SPM akan bermula.    


Saya atur langkah cepat-cepat ke tapak perhimpunan pelajar tingkatan lima. Mereka telah siap berbaris. Bersedia untuk berjihad di dalam dewan yang serba indah.


Saya menyaksikan Ilham, seorang pemimpin pelajar akan memimpin bacaan doa. Ilham ditemani Tuan Pengetua yang berdiri di sebelahnya. 


Bijak. Segak. Berkarisma. Inilah antara ratusan anak yang kami gilap saban tahun. 


Memimpin bacaan doa bukanlah sesuatu yang asing bagi Ilham. Itulah tugas Ilham di dalam kebanyakan majlis di sekolah. Tetapi hari ini, perkara yang amat biasa dilakukan, bertukar menjadi sesuatu yang sukar. 


Tangan Ilham menggeletar memegang kertas doa. Dia gementar. Ini permulaan hari penting dalam kehidupannya. Dia sedang belajar. 


Saya tidak pernah mengenali ibu bapa Ilham. Namun, siapa pun mereka .. saya pasti, mereka bangga jika melihat Ilham hari ini. 


Semua ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah kerana mahu anak mereka cemerlang dalam akademik. 


Tetapi sebenarnya, pelajar yang hadir ke sekolah mendapat lebih daripada itu. Lihatlah Ilham. Seorang pemimpin. 


Di sinilah mereka meningkatkan kemahiran bersosial. Belajar berkomunikasi, belajar menghormati dan membentuk sahsiah diri. 


Mereka berani mengaku salah serta memohon maaf. Malah, paling penting mereka belajar mengendalikan emosi dan menangani masalah dengan bijak.


Merekalah anak-anak kita. Kita menyokong kerana mereka anak-anak kita. Mereka, amanah Allah.


#cganis - suka school vibes

#jurnalcikguanis

GP 15 KEHEBATAN YANG DITINGGALKAN

 School vibes 3 : Kehebatan Yang Ditinggalkan

  


Di dalam kelas tingkatan satu hari ini. 


Selepas mengajar, saya ajukan beberapa soalan untuk merangsang pelajar berfikir. 


Saya sabar menunggu jika ada pelajar yang hendak berkongsi pendapat. Sengaja saya biarkan masa berlalu. 


Saya imbas setiap pelajar dengan pandangan hampa. Separuh daripada mereka tunduk memandang meja.


Krikk  ..  Krikk  ..


"Siapa di sini, adalah pemimpin pelajar semasa di sekolah rendah?"

"Jujur dengan saya."

Soal saya cuba memancing mereka untuk berbicara.


Lebih daripada separuh pelajar mengangkat tangan. 


"Tahniah, maksudnya awak semua di sini memang hebat-hebat belaka! Betul tak?" 

Mereka mengangguk. 


Mereka ini, dahulunya ... 


Anak  yang selalu naik ke pentas. 

Anak  yang paling banyak berinteraksi. 

Anak yang selalu membantu. 

Anak  yang menjadi contoh di sekolah.  


Tahun pertama di sekolah berasrama penuh terkemuka ini, telah memberi mereka cabaran baharu. 


Bimbang dilabel 'berlagak pandai,' ramai yang memilih untuk tidak terlalu menonjol. Mereka meninggalkan kehebatan yang pernah mereka miliki. 


Jauh-jauh. Jangan ada yang tahu. Malu! 


Kalaulah 'kehebatan' itu boleh dilihat, agaknya  bertimbun-timbun di luar pagar.


Hmm  ..  lemah!


#cganis - suka mengajar pelajar tingkatan satu. 

#jurnalcikguanis

GP 16 SCHOOL ATTACHMENT

 School vibes 4 : Attachment


"Mama, interview tu macamana?"

"Kenapa dengan interview ?" 

 "Rahsia  ... ." 


Sudah dua tiga hari Amani asyik bertanya perihal interview. 


Apabila saya terangkan, cepat pula dia mencelah, "Cukup-cukup."

Agaknya penjelasan saya terperinci sehingga dia sukar untuk memahami. 


Hari berikutnya, Amani memberitahu dia perlu hadir ke sesi temuduga. Saya hanya mengucapkan selamat berjaya tanpa bertanya dengan lanjut. 'Rahsia' tersebut pasti terbongkar apabila dia balik dari sekolah nanti. Saya hanya perlu bersabar.😇


Tapi entah kenapa tengahari itu,  budak mulut becok ini senyap menyimpan rahsia.


Kesabaran saya teruji. Ini tidak boleh jadi! 

Biasanya, dia yang tidak sabar-sabar mahu bercerita. 


Ah! Mungkin interview itu cuma sekadar lakonan main peranan di sekolah. 


Saya fikir, 'bagus cikgu sekolah ni, awal - awal lagi sudah dedahkan pelajar dengan interview.' 


Proses temuduga tentu melibatkan perbincangan antara guru dan pelajar serta akan terbit perasaan ingin tahu pelajar. 


Saya suka attachment pelajar dengan aktiviti sebegini. 


Habis, kisah Amani tadi? 


Temuduga calon ketua murid rupa-rupanya. Calon pilihan Guru Besar. 


#cganis - suka anak join aktiviti sekolah

#jurnalcikguanis

GP 17 SYUKUR UBIKAYU

 Alasan 8 : Syukur.


Tekak ini teringin sangat hendak menikmati ubi kayu rebus. 


Minggu ini sahaja, saya mencari di dua pasar malam berbeza. Tiada rezeki nampaknya. 


Hujung minggu pula, saya meneruskan pencarian ubi kayu rebus di pasar tani. Masih juga belum bertemu. 


Isnin berikutnya, seperti permulaan minggu-minggu yang lain, saya menghantar anak ke rumah pengasuh.


Sebaik sahaja meletakkan barang-barang anak di muka pintu, muncul pengasuh yang saya panggil mak cik. 


 "Anis makan ubi kayu?" tanya mak cik. 


Allahu Akbar! Mak cik menghulur seplastik ubi kayu. Ada yang berwarna kuning, ada juga yang berwarna putih. 


Ya Allah! Betapa Engkau Maha Mendengar. 'Aku minta ubi kayu saja Ya Allah. Kau beri lebih. Dua jenis pula tu.' 

 


Terasa diri sangat istimewa. Dia memberi perhatian kepada kita yang kerdil dan banyak dosa. 


Sekecil-kecil permintaan pun didengarNya. Ubi kayu sahaja! 


Bayangkan sahabat-sahabat,

Jika doa itu kita panjatkan dengan bersungguh-sungguh dan berulang-kali. Dia pasti mendengar dan memberi. 


Maka, nikmat manakah yang kita dustakan lagi? 


#cganis - nak mini cooper sebiji..

#jurnalcikguanis

GP 18 INSPIRASI DARIPADA PELAJAR

 School vibes 5 : Inspirasi


Saya menerima pelawaan beberapa orang bekas pelajar untuk minum petang. 


Sudah beberapa tahun berlalu, semenjak mereka meninggalkan sekolah berasrama penuh terkemuka ini. 


Di pertemuan itu, masing-masing bercerita tentang rencana masa depan mereka. Bahagia saya mendengarnya.


Untuk kesekian kalinya, saya lebih banyak mendengar daripada berbicara.


Mendengar bahawa dalam tempoh beberapa tahun ini, begitu banyak yang mereka harungi. 

Mengetahui yang mereka berusaha mencorak masa depan sebaiknya. 

Dan betapa mereka  amat menghargai pengalaman zaman persekolahan. 


Petang yang ceria dan menyegarkan. Kami berpisah di kala senja mula melabuhkan tirainya. 


Mereka bukan sekadar pelajar, mereka telah menjadi sahabat. 


Hari ini, mereka terbang tinggi. Mengejar impian masing-masing. 

Kata mereka, "terima kasih cikgu."   


Bagi saya, mereka adalah sumber inspirasi. Ayat-ayat spontan mereka, terbit dengan jujur di dalam kelas.


"Cikgu, saya melihat sesuatu yang berbeza. "

"Cikgu, terima kasih sedarkan saya." 

"Teacher, you sound just like my mother." 


Itulah penghargaan yang sebenar. 

Sungguh! 


Untuk semua bekas pelajar di luar sana,  Semoga anda dapat memberi sumbangan kepada ummah. Teruslah berjuang! 


#cganis - sedang menunggu poskad. 

#jurnalcikguanis

GP 19 NETIZEN

 Ada orang,


Ketika dia berkata-kata, kita terkesima. Semua butir bicaranya bermakna. Terpesona kita yang menadah telinga. Masha-Allah.


Dia menegur dalam bicara yang sopan. Tutur kata tersusun rapi supaya tiada hati dilukai. Sehinggakan, kita yang mendengar malu sendiri.


Ada orang,


Mula sahaja berbicara, terasa seperti nanah mengalir dalam telinga. Sakit, busuk dan geli. Mudah benar dia menghakimi. 


Sedang dia mencari perhatian duniawi, ada jiwa yang sedang teruji. Ada yang sebak menahan luka di hati. 


Inilah dunia. 


La tahzan. Allah ada. 


#cganis - siapa agaknya ketua jabatan netizen? 

#jurnalcikguanis

GP 20 PELAJAR TIDUR

 School vibes 6:  


Ada seorang pelajar, kerap sangat tidur di dalam kelas. Saya menegur dan memberi jalan. Namun, teguran saya tidak diendahkan.


Dia tetap dengan sikapnya yang tidur di dalam kelas yang seterusnya. Sehingga saya merasakan, 'budak ni, ada penyakit agaknya.' 


Khabarnya, di dalam kelas lain pun dia nyenyak begitu. 


Tidur sepanjang waktu pengajaran tanpa menghiraukan cikgu yang sedang mengajar di hadapan. Allahuakbar. 


Ya, di sekolah berasrama penuh terkemuka ini, kami juga tidak terkecuali. 


Mereka lupa bahawa cikgu itu, bukan setakat mengajar dan menyampaikan maklumat. 


Tetapi ketika itu, 

Ada moral yang diselitkan. 

Ada pesanan yang dititipkan. 

Ada pengalaman yang diceritakan.

Ada harapan yang menjadi sandaran. 


Dan, 

Apabila saya menceritakan tentang adab dan kesungguhan Imam Shafie menuntut ilmu, mereka satu kelas melopong. 


"Sebab itulah Islam menganjurkan kita supaya menuntut ilmu daripada guru." Saya mengakhiri cerita. 


"Lagi cikgu?" Umpan mereka supaya saya terus berbicara. 


Memandangkan pelajar berkenaan masih juga tidur, saya mengetuk mejanya. 

"Itu tugasan untuk hari ini, cari buku atau maklumat tentang Imam Shafie."


"Baca, nanti awak kongsikan dalam kelas akan datang," kata saya sambil memandang pelajar yang baru saya kejutkan. 


#cganis - bila cikgu tidak ada, baru berani tidur. 

#jurnalcikguanis

GP 22 AJAK IBU BERSENAM

 Untuk semua sahabat muka buku yang bergelar ibu. 

.

.


Apabila berkeluarga, kita banyak  menumpukan masa dan tenaga kepada rumah tangga. Kesibukan menguruskan keluarga dan kerjaya memang tidak pernah habis. 


Masa untuk diri sendiri? Entah jatuh tempat yang ke berapa! 


Kita perlu merancang dan mengaturkan kembali masa supaya dapat bersenam. Sekurang-kurangnya dapat  menjarakkan sedikit penyakit yang kian menghampiri. Kita mesti cari jalan untuk menidakkan alasan. 


Betul! Penyakit itu ujian. Tetapi, kita mesti meraikan masa sihat sebelum tibanya sakit. Apabila penyakit hinggap, sukar pula  hendak beribadat.  


Saya  luangkan masa mendaki bukit berdekatan. Kerap kali saya berselisih dengan beberapa kumpulan warga emas.


'Masya-Allah! Bertenaga betul pak cik-pak cik berbangsa Cina ni.' Melihat kepada rupa dan fizikal, umur mereka dalam lingkungan 70-an. 


Saya tidak boleh mengalah. Hello? Saya baru 40an! 

.


Namun, ada hari-harinya semangat itu pudar warnanya.  Seribu alasan bersarang di dalam minda. Banyak sangat 'tapi' dan 'kalau'. Sudahnya badan pun menjadi lemau.


Kata orang hendak seribu daya, mahu seribu cara. Alhamdulillah, halangan itu tidak melibatkan orang lain. Hanya diri sendiri dan boleh diatasi. 


Jom kita bersenam, kekal bersemangat. Insya-Allah, kita hendak sihat sehingga ke hujung usia. 


#cikguanis - mak cik yang joging dengan outfit yang outdated😎. .

#jurnalcikguanis

GP 23 RAKAN TRAVEL

 Saya mempunyai beberapa orang rakan Facebook yang istimewa.


Istimewa kerana cara kami berkenalan agak berbeza daripada biasa. 


Mereka bukan rakan lama satu sekolah.  Bukan rakan sepermainan. Bukan juga "mutual friend" kepada sesiapa. Bukan semuanya. 


Kami berkenalan semasa sama-sama merancang untuk bermusafir.  Komunikasi kami hanya di media sosial. Kali pertama kami bersua adalah ketika hari berlepas penerbangan kami. Di lapangan terbang. Kami memang "totally strangers." 


Ramai yang bertanya, "Tidak kekokkah  menghabiskan masa dengan orang baru?  Di tempat baru?" 


Bagi saya, kalau banyak sangat yang kita fikirkan, memang rancangan tidak akan berhasil. Husnudzon. Kita tenang-tenang. Doa sahaja yang baik-baik. 


Sepanjang bermusafir, kami dengan mudah menjadi rapat. Pada masa yang sama saling bergantung harap. Kami sama-sama mencari tempat, 'Kat mana nak solat ni?'


Biasanya kami bersolat di belakang bangunan, di bawah tangga atau di pantai yang terbuka. 

.

.


Usai solat, kami dikelilingi camar di tepi pantai. Indah sekali. 

Kami membiarkan masa berlalu dengan hanya duduk di bangku menikmati keindahan alam. 

Kami belajar budaya masyarakat setempat. 

Kami sama sahaja. Inginkan ketenangan dalam hiruk-pikuk kehidupan. 

.

Betul! Kami berkasih sayang kerana Allah. Asbab bermusafir, kami membina silaturahim. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami sepanjang permusafiran.


Betul kata orang. Jauh berjalan luas pandangan. Banyak pengalaman. Ramai rakan. 


Doa saya, semoga kita dipertemukan dengan sahabat yang baik-baik, dipermudahkan urusan bermusafir dan mendapat manfaat daripadanya. 


#cganis - belum renew buku merah. 

#jurnalcikguanis

GP 24 DHT

 School vibes:


Di sekolah berasrama penuh terkemuka ini, kami memulakan hari persekolahan dengan slot DHT. Solat Dhuha dan taubat. 


Ya. Setiap hari.


Hari ini, giliran saya memantau perjalanan DHT. Saya memasuki ruang solat pelajar puteri. Allah, sungguh menyedihkan! 


Ada yang sedang terbongkok-bongkok menyiapkan tugasan. Ada yang berborak sesama sendiri. Ada juga yang sedang membaca. Ada yang langsung tidak mengendahkan kehadiran saya.


Yang bersolat? Hanya segelintir. 


'Beruntung pelajar-pelajar ini, ' getus hati kecil saya. Mereka didedahkan dengan DHT seawal usia belasan tahun. Saya dulu umur macam ni pun tak tahu pasal solat dhuha. 

Saya cemburu.


"Minggu depan, awak semua akan menduduki peperiksaan, gunakan masa ini untuk meminta kepada Allah. Yang masih  lemah, kalau kawan lain buat sunat dua rakaat, awak sepatutnya buat empat rakaat."


Rasa yang terbuku menyebabkan suara saya meninggi. Geram!


Saya sambung lagi, "Nanti, apabila awak  masuk universiti dan bekerja, awak akan menyesal tidak buat DHT ketika ada peluang."


Saya perhati seorang demi seorang pelajar yang ada. Bukan semuanya uzur. Takkanlah! 

Ada yang  tunduk memandang karpet. Ada yang berbisik-bisik sesama mereka. 


Selepas merekodkan nama mereka, saya berlalu untuk meninjau ke bahagian pelajar putera. Alhamdulillah. Tiada masalah. 


Usai menguruskan semuanya, saya terus ke jabatan dan mengadap komputer. Cuba menyelesaikan sedikit kerja sebelum ke kelas dengan perasaan geram masih berbekas di hati. 


Tiba-tiba seorang pelajar puteri datang ke meja. Katanya, "Cikgu, saya minta maaf. Kata-kata cikgu di surau  tadi telah menyedarkan saya. Terima kasih cikgu." 


Saya menghela nafas kelegaan. Sekurang-kurangnya, ada pelajar yang dihimpit rasa insaf. 


Ungkapan itu telah meleraikan semua bebanan tugas saya hari itu. Terasa ringan, seolah-olah semuanya hampir selesai.


#cganis - bertabahlah cikgu. 

#jurnalcikguanis

GP 25 KISAH BUKU

 Kisah Buku


"Mama, macam mana mama boleh tahu semua perkara?" Tanya Amani bila semua persoalannya saya rungkai satu persatu. 


"Tu. Nampak tak tu?" Jawab saya sambil menjuihkan bibir ke arah buku-buku yang tersusun di rak. Itulah jawapannya. 


Sehingga sekarang saya masih selesa membaca buku fizikal. "Outdated" sedikit bagi sesetengah orang.  Ramai orang sekarang memilih untuk membaca e-book secara atas talian. Mungkin lebih mudah, cuma perlu ada gajet sahaja. 


Ada juga buku yang dibeli, belum habis saya dibaca. Ada yang telah dibaca berulang kali. Yang seronok tentang membaca ini, kita seperti sedang mendengar penulis berbicara. 


Ada beberapa buah buku yang saya sangat sayang. Buku-buku ini mengubah hidup saya. 


Ia  mendedahkan sisi berbeza kehidupan. Ilmu yang tidak akan diperolehi dari mana-mana sumber. Buku-buku ini umpama buku teks. Saya akan baca dan rujuk berulang kali. 


Ia menolak saya supaya keluar dari zon sedia ada. Hidup perlu ditambahbaik. Kita perlukan nilai tambah dalam kehidupan supaya ianya menjadi lebih berkualiti dan bermakna. 


Lebih baik lagi, sekiranya dapat  menyumbang dan berkongsi ilmu tersebut. Bukankah itu di antara tugas kita sebagai khalifah? 


Antara bukunya ialah Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok. Buku ini ditulis oleh Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim. 


Kalau ada yang meminta cadangan bahan bacaan, saya akan syorkan buku ini. Kalau ada yang meminjam, berulang kali saya akan tanya bila mahu dipulangkan. Takut hilang! 


Buku ini mengandungi kisah-kisah bermakna yang berlaku dalam kehidupan penulis. Dan bagaimana peristiwa tersebut menerbitkan keinsafan di hati penulis.


Sesungguhnya setiap apa yang berlaku adalah dengan kehendak Allah. Allah merancang sesuatu peristiwa supaya kita mengambil ibrah daripadanya. Tatkala membaca, tidak terkira berapa kali air mata keinsafan menitis tanpa sedar. Luluh jiwa, kerdil terasa. 


Kisah yang tidak berkaitan secara langsung dengan kita.


Tetapi dakwahnya, Masya-Allah! Terkesan kita yang membaca. 


#cganis - baca semua jenis buku. 

#jurnalcikguanis

GP 8 READING CHALLENGE

 Eksperimen 2: Membaca? 


Tahun 2020, kita digemparkan dengan Covid-19. Kita mengalah dengan tuntutan keadaan. Kita tewas dengan makhluk Allah bersaiz lebih kecil daripada zarah.


Ketika inilah rumah yang besar terasa sempit. Anak dua tiga orang pun sudah terasa sesak. Masa siang 12 jam terasa seperti dua jam. Stok makanan seminggu hanya bertahan tiga, empat hari. Maklumlah, rumah penuh diisi. 


Anak-anak pula melekat dengan gajet sehingga sukar dipisahkan. Kita mencuba pelbagai kaedah untuk menjarakkan anak-anak dengan gajet. Bimbang mereka ketagihan.


Saya juga tidak terkecuali. Ini antara kaedah yang saya gunakan untuk memastikan Amani yang berusia sepuluh tahun ketika itu, belajar Bahasa Melayu di rumah. 


>READING CHALLENGE<


1. Pilih sebuah buku novel kanak-kanak.


2. Cabarannya: beliau perlu menghabiskan novel kanak-kanak setebal 247 muka surat dalam tempoh tiga hari.


3.  Ganjaran untuk Amani:

 - RM30 jika beliau menghabiskan buku tersebut dalam tempoh dua hari. 

- RM20 jika buku dihabiskan dalam tempoh tiga hari. 

- Jika gagal, beliau tidak mendapat apa-apa. (Kebetulan Amani sedang mengumpul duit untuk membeli patung jelita, si Barbie)


 

Sebagai penilaian, saya luangkan sedikit masa dan meminta Amani bercerita setelah selesai beberapa  bab dibaca.


Berbaloi juga melabur RM30 untuk seorang budak sepuluh  tahun yang obses dengan YouTube. Habis buku tersebut dibacanya dalam tempoh dua hari.


Saya meminta Amani membuat refleksi. Dan refleksinya berakhir begini. "Amani... tidak minat sangat membaca. Amani baca pun .. sebab mama suruh."


Oh,  anak! 

Mama pujuk hati, "tidak mengapa, tidak berjaya kali ini, mama cuba lagi nanti!" 


#cganis - beri galakan tanpa jemu.

#jurnalcikguanis

GP 7 DIPLOMA

 Eksperimen  1: diploma vs asasi/matrikulasi


"Saya cadang awak mohon program diploma." Saran saya kepada beberapa orang pelajar. 


Kami sekadar berborak kosong tentang pemilihan kursus dan tempat belajar selepas SPM. 


Mereka ketawa kecil. "Diploma, teacher?" 

Saya turut sama ketawa. Saya faham apa yang mereka fikirkan. Mana mungkin pelajar lepasan sekolah berasrama penuh terkemuka ini, meneruskan pengajian peringkat diploma. Apa kelas? 


Saban tahun juga saya memberi cadangan yang sama kepada pelajar-pelajar yang agak rapat dengan saya. Tiada diantara yang mencuba. Kalau adapun, kerana mereka terpaksa. Itupun setelah permohonan ke program Asasi dan Matrikulasi gagal. 


 

Percayalah sahabat-sahabat. 


Ini adalah masa kritikal mereka. Ketika pelbagai tawaran hadir depan mata, ketika itulah pilihan menjadi semakin sukar. 


Namun tidak sukar untuk mama ini meyakinkan anak sendiri untuk mencuba. 


Masa berlalu pantas. Alhamdulillah. Tabarakallah. Mereka yang memilih program diploma telah berjaya dengan cemerlang. Mereka akan terus mendaftar ke tahun kedua pengajian ijazah pertama. 


Mereka kembali bersaing dengan rakan sebaya dengan dua kelebihan. Segenggam diploma dan kursus pilihan pertama. 


Ya,  Alhamdulillah. Eksperimen ini berjaya!


#cganis - peluang kita lebih banyak jika ramai yang leka

#jurnalcikguanis

GP 5 MELEPASKAN

Alasan 5 : Melepaskan


Usai sesi bersenam, saya bergerak ke tapak Flea Market Taman Pantai Gelora, Kuantan. Sekadar meninjau apa yang menarik. 


Rata-rata mereka yang terlibat menjual pakaian 'pre loved'. 


Ada juga yang menjual mainan lama. Berkualiti bahannya. Nampak masih cantik. Yang menarik perhatian saya ialah koleksi Teenage Mutant Ninja Turtle. Mungkin akan bertemu jodoh dengan pengumpul mainan pagi ini. Ada potensi untuk terjual.


Serta-merta saya teringat baju yang saya kumpul di rumah. Biasanya, saya iklankan dalam kumpulan Whatsapp kejiranan. Masya-Allah Tabarakallah, sentiasa sahaja ada sahabat yang berminat dan memerlukannya. 


Kebiasaannya, baju yang sudah saya kumpul, akan ditilik kembali. Kali kedua ditilik, langsung tidak ada rasa hendak memberi. Ikatan barang dengan hati manusia pun sampai begitu sekali. Sukar dimengerti. Sayang sangat!


Bagaimana agaknya ketika tiba masa melepaskan orang yang kita sayang pergi? 


Mati itu pasti. Kuun fa ya kuun. Jika mereka tidak pergi, mungkin kita yang pergi dahulu. Perjalanan yang hanya dipisahkan oleh jarak masa. Bersediakan kita? 


Samada dilepaskan atau melepaskan, sama sahaja. Kedua-duanya memerlukan persediaan. 


Semoga kita semua dikurnia iman sekuat ibu Nabi Musa sewaktu menghanyutkan baginda. Bangkit! Kita perlu bersedia. 


#cganis - suka lagu Andai Ku Tahu oleh Ungu

#jurnalcikguanis

GP 4 BAHAGIA

 Alasan 4 : Bahagia


Sejak pagi semalam, saya sudah merasa bahagia. Bahagia sebab sudah terbau-bau hujung minggu. Bahagia sebab tahu ada banyak aktiviti kegemaran menunggu.


Kebiasaannya, mesti bersenamrobik percuma di taman tepi pantai. Sambil bersenam, 'catch up' cerita dengan  geng ibu berlainan latar belakang pekerjaan. 


Penting untuk kita membina 'networking'. Sedikit-sebanyak, mereka boleh membantu bila perlu. Maklumat pun bertambah, tidaklah cerita yang sama sahaja setiap hari.


 Ada juga di antara mereka yang saya kagumi dan menjadi inspirasi. 


Ada ibu pejuang kanser. Bukan seorang diri, tetapi diuji bersama suami. Allahu Akhbar! Hebat ujian mereka. Suami isteri didiagnos kanser. Tetap gembira dan datang senam bersama. 


Ada  ibu warga emas, gigih berusaha menurunkan berat badan. Katanya, "nak mudah beribadat." Kak Zie selalu diingatkan oleh instruktor supaya bersenam mengikut kemampuan. 


Bila ditanya, "tak penat ke, Kak Zie?"

"Akak suka .. rasa cergas lepas senam." Jawapan yang diiringi dengan ketawa kecil. Kak Zie bahagia dengan pilihannya. Ramai rakan seusia Kak Zie memilih untuk bersenang-senang dengan cucu di hujung minggu.


Di taman ini, ada yang bahagia dengan hanya mendongak ke langit biru. Melihat tompok awan putih bergerak perlahan-lahan ditiup angin. 


Ada yang termenung merenung jauh lautan luas. Sambil melihat bot-bot  nelayan keluar masuk melalui muara sungai. Bahagia merasai lembutnya bayu laut menerpa pipi. 


Ada yang bahagia membakar begitu banyak kalori. Kemudian terus menikmati teh tarik sebagai sarapan pagi. Samalah macam saya yang sedang menaip ini.


Kita tidak perlu alasan untuk bahagia. Bahagia itu pilihan kita. Berusahalah mencoraknya sepenuh jiwa. Sentiasa! 


#cganis - bahagia itu, kita yang cari. 💞

#jurnalcikguanis

GP 3 TANGGUNGJAWAB

Alasan 3 : tanggungjawab


"Mama....?"

Saya menunggu butir-butir perkataan yang bakal terbit dari bibir pendiam itu.


Anak yang  seorang ini, kalau dah mula berbicara, kita yang mendengar kena banyak bersabar. Saya setia menunggu bicara yang bakal dilontar. 


Satu-satu kosa kata terbit. Tersusun. Teratur ayatnya, tetapi ya ampun. Lambat! 


"Boleh abang cik beli.. kasut kawad?"


Saya terdiam dan 'loading' sekejap. Bukan berkira tentang pembaziran kerana kegunaan kasut tersebut yang mungkin sesekali sahaja akan digunakan.


Bukan juga kerana tidak mampu. Cuma, terpaku dengan permintaan yang satu. Namun, malam itu juga kami keluar cari sepasang kasut kawad. 


Balik berkawad hari sukan, dia cerita, 


"Ketua platun kami demam teruk tetapi datang juga untuk perbarisan. Habis sahaja perbarisan terus balik." 


"Itulah tanggungjawab namanya." Sambung saya.


Tanggungjawab itu sukar diajar. Mesti dialami sendiri untuk belajar. 


Inilah universiti kehidupan!!


#cganis - sedang mendalami ikhlas.

#jurnalcikguanis

ASASI VS DIPLOMA


Eksperimen berjaya 1.


Memang betul. Kita tidak akan dapat apa yang kita hendak, tapi kita akan dapat apa yang selayaknya untuk kita. Itu yang terbaik.


Selepas tamat SPM, kakak masih keliru dengan pemilihan kursus. Yang bagusnya, anak yang seorang ini tidak terpengaruh dengan pemilihan kursus rakan-rakan. Tidak juga senang-senang mengikut cadangan mama. Malah, dalam pada kami sama-sama berbincang dan membuat keputusan, berlaku juga kesilapan.


Percayalah sahabat-sahabat. 


Ini adalah masa kritikal  kita. 


Anak daftar masuk tadika, mama pening. Anak masuk sekolah rendah mama pening. Masuk sekolah menengah pun sama. Hatta hendak memilih bidang dan tempat pengajian selepas sekolahpun, mama juga yang  pening.


Agaknya 'pening' ini memang tugas mama.


Ketika kawan-kawannya sibuk memohon program asasi atau matrikulasi, saya mencadangkan program diploma. 


Alasan saya biarlah dia memperlahankan langkah sedikit sambil menikmati masa belajar. Sambil-sambil itu, boleh menyertai sebarang program sukarela atau kursus untuk  menambah nilai diri.  Bagus juga untuk meningkatkan keyakinan diri dan kembali bersaing. Pemilihan kursus juga telah terjamin. 


Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan pelajar-pelajar tingkatan lima, tahun peperiksaan SPM adalah amat "menyesakkan". 


Saya nampak bagaimana pelajar "all out" semasa persediaan. 


Semua pelajar dalam momentum mereka sendiri. Kadang tidak terkejar oleh cikgu senior ini. Persaingan berterusan untuk menempatkan diri ke peringkat seterusnya.


Kakak mengambil masa juga untuk mempertimbangkan cadangan saya. Saya faham, dia terasa kebolehannya dalam akademik diragui. Apa tidaknya, pelajar lepasan sekolah berprestij menyambung pelajaran peringkat  diploma?


Saya juga mencadangkan perkara yang sama kepada pelajar-pelajar saya. 


Sekarang, selepas dua tahun setengah berlalu. Saya berani katakan eksperimen ke atas anak sendiri ini berjaya. Alhamdulillah. 


Kakak berjaya menamatkan pengajian diplomanya dengan keputusan cemerlang. Dia akan terus mendaftar ke tahun dua  peringkat ijazah pertama. 

Manis sekali kejayaannya. Pelajar yang menerima cadangan saya juga menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang. 


Alhamdulillah. 


#cganis - tak ada eksperimen gagal


KAWAD KAKI DAN TANGGUNGJAWAB

 Jun 2022, musim sukan dan olahraga di sekolah

"Mama.... Boleh abang cik beli kasut kawad?"


Saya terdiam, dan mengambil masa untuk menjawab. Bukan berkira tentang pembaziran kerana kegunaan kasut tersebut yang mungkin sesekali sahaja akan digunakan. Bukan juga kerana tidak mampu. Tetapi, kerana permintaan yang terbit dari mulut anak lelaki yang seorang ini.

Anak lelaki yang akan cepat-cepat masuk bilik, bila saya tawarkan untuk mendaftarkan beliau dalam kelas tuisyen. Anak lelaki yang sengaja memilih Badan Berunifom yang tidak berapa aktif, semata-mata kerana tidak suka bersosial. Anak lelaki yang memilih sukan bukan berpasukan kerana tak suka "ramai-ramai" katanya.

Dulu semasa tingkatan satu dan dua, kalau musim latihan sukan dia akan pesan,

"mama, ambil on time tau.. Tak nak stay back untuk kawad kaki".

Malam itu, suami saya bawa beliau keluar beli kasut kawad. Besoknya raptai. Katanya lebih selesa dan sedap dengar orang kawad pakai kasut kawad. Lusa hari sukan. 

Balik berkawad hari sukan, dia cerita, 

"ketua platun kami demam teruk tetapi datang jugak untuk perbarisan. Habis sahaja perbarisan terus balik" . Ada bunga - bunga rasa hormat dalam ayat tersebut. 

"itulah tanggungjawab namanya. Kita memang kena jadi macam tu..", sambung saya. 

Penyertaan dalam kawad kaki ini pun, saya percaya ianya berlandaskan rasa  tanggungjawab. Tanggungjawab itu sukar diajar. Mesti dialami sendiri untuk belajar. 

Ini lah universiti kehidupan!! 


Cg anis-sedang mendalami ikhlas. 



ROLE PLAY- BODY DEFENCE

2 Julai 2022

Minggu ni, 2 kelas tingkatan 2 akan buat main peranan. "Role play". 

Tajuk- body defence. Bab Human health. 

Bagusnya aktiviti ni, pelajar akan aplikasikan kefahaman mereka dalam bentuk  lakonan. 

Ini selepas aktiviti- jawap soalan kuiz, boleh bincang.. Asal faham. 

Satu jam masa kelas untuk perancangan

Pelakon- yang ni jadi phagocyte

Tengah menyusun... 

Narrator dan project director dah ready

Kami buat kat dewan besar. Puas pelajar berlari. 

Reflection: teacher, we love it teacher.. Dah lama tak berlakon. Last sekolah rendah dulu. 

Cg anis: tukang rekod, ambik gambar.. Share dlm group kelas. Semua dapat 10/10.



WARKAH UNTUK ANAK GADIS MAMA

Anak kesayangan mama, selamat ulangtahun ke 20.


Mama doakan semua yang kakak hajati dan minta dari Allah akan dimakbulkan. Selama ini pun, rezeki  kakak murah. Semua dipermudahkan. Alhamdulillah. 


Allah beri kita nikmat kesenangan dan kejayaan adalah supaya kita sentiasa bersyukur. Sentiasalah memperbaiki diri serta mendekatkan diri padaNya. 


Anak mama, 

Terpelajar dan matang itu, bukan bermakna kita pandai ilmu dunia saja. Tidak  bermakna cemerlang akademik tetapi ambil mudah tentang hukum. 


Mama suka tengok kakak berfesyen, bergaya. Tetapi dalam bergaya, jangan jadi mangsa fesyen. Fesyen bukan medium untuk kita menidakkan hukum. Jangan fesyen yang kita gayakan menampakkan kejahilan kita.


Jaga batas pergaulan. Hormati dan sayangi diri sendiri. Jangan terlalu ikutkan perasaan. Rasional lah ketika membuat keputusan. Gadis bijak tidak berpaksikan emosi semata. 


Kakak, 

Tidak mengapa jika semua yang kakak rancang, tidak menjadi. Redha sahaja. Allah telah sediakan sesuatu yang lebih baik dari itu. Belajarlah melepaskan, sekiranya perlu.  


Pada masa yang sama, berusahalah. Terbang tinggi untuk mengejar impian. Lain orang lain perjalanan hidupnya. Tak perlu cemburu. Allah is the best planner. Mintalah pada Allah. 


Akhir sekali, 

Bersederhanalah dalam apa jua. Kakak membawa nama bapa bersama. Bapa, "man with few words." Susah dia nak melepaskan kakak pada dunia luar.  Jaga tingkah laku, solat awal waktu, selalulah merendah diri.


SELAMAT ULANG TAHUN KAKAK. 


KASIH SAYANG YANG TIADA BERTEPI

-MAMA-

Campus life

Selepas setahun


SABTU SEORANG GURU

 28 Mei 2022, Sabtu.

Pagi ni ada program PGG di maktab, 2 jam untuk semua  pelajar tingkatan 4 tidak kira samada mereka akan menduduki  IGCSE atau tidak. Sudahlah kelas setiap hari berakhir jam 4.30 petang, hari minggu dipenuhi pula dengan program-program akademik seperti ini.

Saya luangkan masa untuk aktiviti senamrobik dahulu di sebelah pagi, sementelah PGG bermula jam 11pagi. Hilangkam stress dahulu sebelum pegi sekolah hari sabtu.

Yang di tengah tu, instructor Ros. Hari ni "one man show". Ramai makcik-makcik yang join. Yang muda-muda ada anak kecil, susah nak keluar rumah agaknya.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bagus? Sebab banyak program? 

Sebagai ibu, saya rasa TIDAK. Kesian pelajar. Dah macam robot semuanya...keletihan mental dan fizikal. Tiada masa rehat.

Sebagai cikgu pun, saya rasa TIDAK BAGUS juga. Pelajar semacam dah diprogram. Apa yang saya perhatikan , jika tiada cikgu, mereka akan membuang masa. Alasan mereka, "tak ada cikgu". Mereka langsung tidak boleh menguruskan sendiri masa dengan baik, apatah lagi merancang jadual belajar sendiri. Malah kami cikgu juga keletihan.

Untuk kelas pagi ini, saya berkongsi seorang sejam dengan rakan saya Cikgu Intan. Semua pelajar hadir. Kelas bermula jam 11 pagi sehingga 1 petang. Sebelum Biologi, ada kelas Bahasa 8.30 hingga 10.30pagi.

Saya mengajar CELL DIVISION. Cuba sedaya upaya menerangkan segala konsep dan isi kandungan dengan baik kerana semua pelajar terlibat, bermakna terdapat pelbagai aras pembelajaran. Alat bantu mengajar di pusat sumber memang terbaik, jadi ia melancarkan proses pdp. Terbayang LCD projector yang dah lama rosak di makmal. STRESS setiap kali masuk makmal!!Pentadbir dah janjikan yang baru, tapi belum nampak bayang lagi.

Semua pelajar menumpukan perhatian. Sesekali saya pesan "fokus...fokus.., sekejap je lagi kelas nak habis.." Maklumlah bila duduk mendengar sahaja, memang la bosan. Saya selit juga gurauan yang berkaitan dengan subjek kami. Kebanyakannya disambut dengan gelak ketawa. Menjadi semua lawak hari ini.

Ini respon pelajar bila saya tanya di akhir kelas, "berapa bintang nak beri untuk kelas teacher, daripada 5 bintang?



Cikgu Anis: hilang penat tcr datang sekolah hari minggu.






KISAH AMANI DAN BUKU - BAHAGIAN 2

Seperti yang diminta, kami bawa Amani untuk beli buku sebagai hadiah harijadinya.

Buku yang di pilih oleh Amani

Habis juga rm 173, tapi rm 100 duit Amani sendiri. Kami tambah rm 73. Dia bertegas nak bayar rm 100, sebab katanya, "banyak sangat mama nak bayar nanti"

Ini koleksi buku untuk tahun ini sahaja.

Untuk seorang anak yang tidak pernah cuba membaca di waktu senggangnya, saya rasa ini adalah permulaan yang baik untuk Amani. Penulis kegemarannya adalah David Walliams

Apa yang 'trigger' Amani untuk membaca?

Saya suka menonton tv. Kemudian saya kongsikan kisah personaliti David Williams yang hebat semasa kami berbual. David Walliams adalah seorang pelawak, pengacara, pelakon serta penulis buku. Bukan sebarang buku, tetapi buku kanak-kanak!! 

Menghasilkan buku kanak-kanak bukan mudah. Kisahnya mesti menarik, mudah difahami, memberi kesan dan mesti ada penerapan nilai moral. Bermula dari situ, kami cari sedikit maklumat mengenai buku-buku David Walliams. Kebanyakannya memang 'world best seller' .

Amani kata, 'Amani nak cuba, tajuk buku pun macam best.." 

Sehingga hari ini, habis sahaja beberapa bab, dia akan datang bercerita walaupun saya acuh tak acuh mendengar. Sempat juga saya pesan, jangan laju sangat baca..nanti habis cepat.

** Haritu, Amani ada beli kasut. Jenama vans, limited edition. Rm 250. Amani masih berhutang dengan mama rm50. Dia kata, kenapa mama boleh je bayar duit buku tanpa soal? Kasut kan perlu..kenapa Amani kena bayar sendiri?

Cikgu anis hanya bayar untuk kasut murah je. Ha..ha..ha..



 



 


KISAH AMANI DAN BUKU - BAHAGIAN 1

 22 MAC 2022.

Hari ni ulang tahun Amani yang ke 12. 

Semalam, semasa saya mengambil gambar buku cerita ikmal komik M untuk dimuatkan dalam kedai shoppee RAKKU ,

 Amani tanya, "kenapa nak jual?" 

"Amani tak baca pun", jawab saya. 

 Dia senyum sahaja. Semua buku-buku cerita mereka masih cantik seperti baru. Komik M yang menggunakan bahasa melayu standard, banyak membantu meningkatkan pencapaian subjek Bahasa Melayu semasa Ikmal di sekolah rendah. Novel-novel Ain Maisarah, siri Adam Kecil dan banyak lagi siri dari penulis yang berbeza, telah menjadikan Addina seorang anak yang lebih prihatin.


Amani?  

Dilahirkan bongsu dalam keluarga. Pernah semasa tadika, dia memberi banyak alasan untuk menyiapkan kerja rumah. Sudahnya kerja tersebut disiapkan oleh Ikmal. 

Pernah juga saya berbicara dengan guru tadikanya supaya Amani diberikan sedikit tugasan kecil seperti menyusun beg atau kasut. Ini adalah untuk mewujudkan satu suasana 'bukan anak bongsu', di mana beliau akan lebih bertanggungjawab dan berani.

Membaca? Saya pernah memberi insentif wang tunai kepadanya sebagai galakan membaca(klik) . Itu pun puas saya memaksa. Tidak seperti Addina dan Ikmal yang suka membaca, Amani lebih tertarik dengan you tube, internet malah mendengar muzik di sportify. Ketika ibu bapa lain membelikan tab dan telefon pintar, kami belikan dia kamera digital (yang dia bawa ke mana-mana bila keluar rumah). Namun dalam fasa pandemik , kami terpaksa mengalah dengan membelikannya tablet untuk kegunaan sekolah. Tidak pernah Amani dengan sukarela membelek buku-buku cerita yang sedia ada. 

Dan tahun ini, segala-galanya berubah...

KISAH AMANI DAN BUKU - BAHAGIAN 2


TANGGUNG JAWAB BUKAN PILIHAN

 SABTU, PENGHUJUNG JANUARI

"Cikgu.. Tempat tak muat untuk semua pelajar. Mikrofon pun tak ada ni. Naya ke budak..."

Pesanan yang saya terima dalam aplikasi Whats App. Kata-kata yang meletakkan kesalahan di atas batu jemala saya. Okey, mungkin saya salah. Tidak perlu saya terangkan lebih lanjut apa yang berlaku kerana itu hanya lebih membuatkan saya 'nampak betul' atau tidak bersalah.

Kalau ikutkan hati, saya akan cakap, 

"cikgu batalkan saja slot cikgu kalau susah-susah. "

Lebih kurang 10 tahun saya terlibat dalam komiti kecemerlangan pelajar. Samada sebagai penyelaras, setiausaha atau ahli jawatan kuasa, semuanya saya sudah rasa. Kami mengatur dan melaksanakan program untuk menyiapkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting.

Apa pilihan yang cikgu ada dalam situasi sebegini? 

TIADA !

Dari kita merungut, menyalahkan dan melahirkan rasa tidak puas hati sehingga mengganggu tugasan, lebih baik kita mencari jalan untuk menyelesaikannya. Di hadapan kita itu adalah amanah.

KREATIF dan CARI JALAN.

Sebab tugas mengajar adalah TANGGUNG JAWAB bukan PILIHAN

sekolah kembali beroperasi

school vibes

SABTU SEORANG GURU

cikgu anis- layan senamrobik percuma hari minggu.








SCHOOL VIBES

 20 JANUARI 2022

" Mama, interview tu macamana? "

Dah dua tiga hari Amani asyik tanya perihal interview. Saya ceritakan sedikit sebanyak tentang interview yang perlu budak umur 11 tahun tahu. Bila ditanya kenapa ? Katanya , rahsia...

Hari berikutnya, Amani kata dia ada interview. Saya hanya mengucapkan selamat berjaya tanpa bertanya dengan lanjut. 'Rahsia' tersebut pasti terbongkar balik sekolah nanti. Saya hanya perlu bersabar.😇

Saya bukan nak kongsi tentang interview, tetapi saya suka 'school vibes' dekat sini. Pelajar dah kembali ada 'attachment' dengan guru dan aktiviti sekolah. Proses untuk menghadiri interview itu melibatkan pertemuan guru-pelajar, perbincangan pelajar-pelajar dan pelbagai perasaan ingin tahu pelajar. Saya suka sangat bila Amani cakap, "kat sekolah tadi......". Setiap cerita tersebut adalah ilmu baru yang beliau kutip di sekolah. Hatta bergaduh dengan kawan pun, saya kira itu adalah ilmu. Ilmu untuk meminta maaf, bertolak ansur, berkecil hati dan belajar memaafi.



Ini gambar yang saya ambil semasa mengawasi peperiksaan di kelas pelajar tingkatan 4. Tak pasti untuk subjek apa. Kreatif betul! Tetapi , saya percaya proses untuk menyiapkannya memerlukan komunikasi yang berkesan sesama pelajar. Perlukan seseorang yang bertindak sebagai ketua. Perlukan seseorang yang cermat dan teliti. Perlukan semangat berpasukan. Inilah yang tiada dalam buku. Inilah yang anak kita belajar bila ke sekolah.
"School vibes".


Cg Anis,
Geram juga bila ada kawan bagi tahu yang anaknya tak pergi sekolah sebab kalau pergi pun, cikgu tak mengajar atau cikgu tak masuk kelas.







KEHIDUPAN DI KAMPUS

 10 Januari 2022

Dah 10 hari di tahun 2022. 

Sempat juga kami menghabiskan cuti 2 minggu di rumah kecil kami di Kedah. Meninggalkan bumi Kuantan yang ketika itu dilanda hujan lebat dan banjir. Mohon maaf sangat terhadap kawan-kawan yang dilanda musibah banjir kerana kami tidak dapat bersama membantu.

Minggu lepas saya berbual dengan seorang sahabat yang duduk semeja semasa makan. Masing-masing bertanya khabar tentang anak masing-masing. Saya tahu anaknya cemerlang dalam SPM yang lepas. Sedang mengikuti program untuk ke luar negara.

Katanya lagi, "berdebar juga nak sign agreement pinjaman pelajaran, kos belajar di UK mencecah setengah  juta ringgit". 

Untuk pinjaman boleh ubah, biasanya pelajar akan membayar balik 5% hingga 10% jumlah pinjaman. Katakan jumlah pembiayaan adalah RM500 000. 5% adalah RM25 000. RM25 000 adalah satu jumlah yang amat besar untuk graduan baru. Namun itulah harga yang perlu dibayar untuk menimba pengalaman belajar dan merantau di luar negara.

Persoalannya sekarang, berbaloikah mengikuti kursus-kursus bukan professional seperti sains tulin di luar negara? Malah dengan kos purata RM50 000 pelajar dapat mengikuti kursus ijazah pertama di universiti swasta di Malaysia. Kos bayaran balik pinjaman untuk 5% adalah bersamaan dengan RM2500 sahaja. 

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa pengalaman belajar di luar dan dalam negara amat berbeza. Pembinaan peribadi dan jati diri pelajar juga mungkin dapat ditingkatkan semasa di luar negara. 

Cikgu Anis- cemburu juga tengok kawan-kawan hantar anak ke KLIA 😉. Kita hantar anak ke Cyber Jaya je. Semoga tamat belajar dengan CGPA 3.75 ke atas.

Baca juga Warkah untuk anak gadis


bilik Addina di MMU


DARI DIPLOMA KE KELAS PERTAMA part 2

 Berbekalkan keputusan SPM 7A, peluang untuk mendapat biasiswa penuh untuk peringkat seterusnya, bukan sahaja tipis, tetapi langsung tiada h...