Kisah Buku
"Mama, macam mana mama boleh tahu semua perkara?" Tanya Amani bila semua persoalannya saya rungkai satu persatu.
"Tu. Nampak tak tu?" Jawab saya sambil menjuihkan bibir ke arah buku-buku yang tersusun di rak. Itulah jawapannya.
Sehingga sekarang saya masih selesa membaca buku fizikal. "Outdated" sedikit bagi sesetengah orang. Ramai orang sekarang memilih untuk membaca e-book secara atas talian. Mungkin lebih mudah, cuma perlu ada gajet sahaja.
Ada juga buku yang dibeli, belum habis saya dibaca. Ada yang telah dibaca berulang kali. Yang seronok tentang membaca ini, kita seperti sedang mendengar penulis berbicara.
Ada beberapa buah buku yang saya sangat sayang. Buku-buku ini mengubah hidup saya.
Ia mendedahkan sisi berbeza kehidupan. Ilmu yang tidak akan diperolehi dari mana-mana sumber. Buku-buku ini umpama buku teks. Saya akan baca dan rujuk berulang kali.
Ia menolak saya supaya keluar dari zon sedia ada. Hidup perlu ditambahbaik. Kita perlukan nilai tambah dalam kehidupan supaya ianya menjadi lebih berkualiti dan bermakna.
Lebih baik lagi, sekiranya dapat menyumbang dan berkongsi ilmu tersebut. Bukankah itu di antara tugas kita sebagai khalifah?
Antara bukunya ialah Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok. Buku ini ditulis oleh Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim.
Kalau ada yang meminta cadangan bahan bacaan, saya akan syorkan buku ini. Kalau ada yang meminjam, berulang kali saya akan tanya bila mahu dipulangkan. Takut hilang!
Buku ini mengandungi kisah-kisah bermakna yang berlaku dalam kehidupan penulis. Dan bagaimana peristiwa tersebut menerbitkan keinsafan di hati penulis.
Sesungguhnya setiap apa yang berlaku adalah dengan kehendak Allah. Allah merancang sesuatu peristiwa supaya kita mengambil ibrah daripadanya. Tatkala membaca, tidak terkira berapa kali air mata keinsafan menitis tanpa sedar. Luluh jiwa, kerdil terasa.
Kisah yang tidak berkaitan secara langsung dengan kita.
Tetapi dakwahnya, Masya-Allah! Terkesan kita yang membaca.
#cganis - baca semua jenis buku.
#jurnalcikguanis
No comments:
Post a Comment