GP 13 KONFLIK

 School vibes 1 : Menangani Konflik


Memang menjadi kebiasaan, kami tiba awal di sekolah setiap pagi. Sambil membetulkan tali lehernya, mata Amani liar memandang keluar tingkap. 


 "Aik, kenapa semua orang pakai baju PJ hari ni?" 


"Ujian segak kot," jawab saya acuh tak acuh. Akhir-akhir ini, memang musim ujian segak di kebanyakan sekolah.


"Betul la, kita kena balik tukar baju ni, mama.." 


Kalau diikutkan hati, malas saya hendak berpusing balik ke rumah pada waktu  kemuncak begini. Tapi, takkanlah Amani hendak meneruskan ujian segak dengan pakaian rasmi pengawas, lengkap berkot dan bertali leher? 


Saya tidak mahu meletakkan cikgunya dalam keadaan serba salah. 


Tanpa membuang masa, kami bergegas balik ke rumah dan kembali semula ke sekolah. Kami tiba tepat pada jam 7.30 pagi. 


Saya memandang sekilas pada cermin pandang belakang. Mata Amani sudah berkaca semasa kereta mendaki bukit kecil di hadapan sekolahnya.


Ini kali pertama Amani lambat ke sekolah. Konflik terbesar bagi seorang pelajar yang sangat 'obedient.' 


"Apa Amani nak cakap, kalau cikgu tanya kenapa lambat? Nanti kena marah .. "


"Ceritalah perkara yang sebenar, kalau cikgu marah, minta maaf sahaja," pantas saya menjawab supaya Amani cepat beredar. Saya juga mengejar masa tetapi masih mahu berkongsi rasa. 


Saya meneruskan perjalanan ke sekolah. Amani pasti akan ditegur guru kerana lambat. Tambahan pula dia pengawas bertugas hari ini. Tidak mengapa. 


Sesekali, biarlah dia merasai perasaan itu. Perlu! Kerana hidup ini bukannya indah setiap hari. 


Kita tidak perlu menjadi ibu bapa sempurna sehingga perlu menyelesaikan konflik untuk anak. Tidak perlu bersusah payah bertemu guru untuk memberi penjelasan. 


Beri anak peluang untuk belajar bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku. Biar mereka tahu!


#cganis - kena ajar anak 'survival at school' 

#jurnalcikguanis

No comments:

Post a Comment

DARI DIPLOMA KE KELAS PERTAMA part 2

 Berbekalkan keputusan SPM 7A, peluang untuk mendapat biasiswa penuh untuk peringkat seterusnya, bukan sahaja tipis, tetapi langsung tiada h...