Alasan 4 : Bahagia
Sejak pagi semalam, saya sudah merasa bahagia. Bahagia sebab sudah terbau-bau hujung minggu. Bahagia sebab tahu ada banyak aktiviti kegemaran menunggu.
Kebiasaannya, mesti bersenamrobik percuma di taman tepi pantai. Sambil bersenam, 'catch up' cerita dengan geng ibu berlainan latar belakang pekerjaan.
Penting untuk kita membina 'networking'. Sedikit-sebanyak, mereka boleh membantu bila perlu. Maklumat pun bertambah, tidaklah cerita yang sama sahaja setiap hari.
Ada juga di antara mereka yang saya kagumi dan menjadi inspirasi.
Ada ibu pejuang kanser. Bukan seorang diri, tetapi diuji bersama suami. Allahu Akhbar! Hebat ujian mereka. Suami isteri didiagnos kanser. Tetap gembira dan datang senam bersama.
Ada ibu warga emas, gigih berusaha menurunkan berat badan. Katanya, "nak mudah beribadat." Kak Zie selalu diingatkan oleh instruktor supaya bersenam mengikut kemampuan.
Bila ditanya, "tak penat ke, Kak Zie?"
"Akak suka .. rasa cergas lepas senam." Jawapan yang diiringi dengan ketawa kecil. Kak Zie bahagia dengan pilihannya. Ramai rakan seusia Kak Zie memilih untuk bersenang-senang dengan cucu di hujung minggu.
Di taman ini, ada yang bahagia dengan hanya mendongak ke langit biru. Melihat tompok awan putih bergerak perlahan-lahan ditiup angin.
Ada yang termenung merenung jauh lautan luas. Sambil melihat bot-bot nelayan keluar masuk melalui muara sungai. Bahagia merasai lembutnya bayu laut menerpa pipi.
Ada yang bahagia membakar begitu banyak kalori. Kemudian terus menikmati teh tarik sebagai sarapan pagi. Samalah macam saya yang sedang menaip ini.
Kita tidak perlu alasan untuk bahagia. Bahagia itu pilihan kita. Berusahalah mencoraknya sepenuh jiwa. Sentiasa!
#cganis - bahagia itu, kita yang cari. 💞
#jurnalcikguanis
No comments:
Post a Comment