School vibes:
Di sekolah berasrama penuh terkemuka ini, kami memulakan hari persekolahan dengan slot DHT. Solat Dhuha dan taubat.
Ya. Setiap hari.
Hari ini, giliran saya memantau perjalanan DHT. Saya memasuki ruang solat pelajar puteri. Allah, sungguh menyedihkan!
Ada yang sedang terbongkok-bongkok menyiapkan tugasan. Ada yang berborak sesama sendiri. Ada juga yang sedang membaca. Ada yang langsung tidak mengendahkan kehadiran saya.
Yang bersolat? Hanya segelintir.
'Beruntung pelajar-pelajar ini, ' getus hati kecil saya. Mereka didedahkan dengan DHT seawal usia belasan tahun. Saya dulu umur macam ni pun tak tahu pasal solat dhuha.
Saya cemburu.
"Minggu depan, awak semua akan menduduki peperiksaan, gunakan masa ini untuk meminta kepada Allah. Yang masih lemah, kalau kawan lain buat sunat dua rakaat, awak sepatutnya buat empat rakaat."
Rasa yang terbuku menyebabkan suara saya meninggi. Geram!
Saya sambung lagi, "Nanti, apabila awak masuk universiti dan bekerja, awak akan menyesal tidak buat DHT ketika ada peluang."
Saya perhati seorang demi seorang pelajar yang ada. Bukan semuanya uzur. Takkanlah!
Ada yang tunduk memandang karpet. Ada yang berbisik-bisik sesama mereka.
Selepas merekodkan nama mereka, saya berlalu untuk meninjau ke bahagian pelajar putera. Alhamdulillah. Tiada masalah.
Usai menguruskan semuanya, saya terus ke jabatan dan mengadap komputer. Cuba menyelesaikan sedikit kerja sebelum ke kelas dengan perasaan geram masih berbekas di hati.
Tiba-tiba seorang pelajar puteri datang ke meja. Katanya, "Cikgu, saya minta maaf. Kata-kata cikgu di surau tadi telah menyedarkan saya. Terima kasih cikgu."
Saya menghela nafas kelegaan. Sekurang-kurangnya, ada pelajar yang dihimpit rasa insaf.
Ungkapan itu telah meleraikan semua bebanan tugas saya hari itu. Terasa ringan, seolah-olah semuanya hampir selesai.
#cganis - bertabahlah cikgu.
#jurnalcikguanis
No comments:
Post a Comment