Eksperimen berjaya 1.
Memang betul. Kita tidak akan dapat apa yang kita hendak, tapi kita akan dapat apa yang selayaknya untuk kita. Itu yang terbaik.
Selepas tamat SPM, kakak masih keliru dengan pemilihan kursus. Yang bagusnya, anak yang seorang ini tidak terpengaruh dengan pemilihan kursus rakan-rakan. Tidak juga senang-senang mengikut cadangan mama. Malah, dalam pada kami sama-sama berbincang dan membuat keputusan, berlaku juga kesilapan.
Percayalah sahabat-sahabat.
Ini adalah masa kritikal kita.
Anak daftar masuk tadika, mama pening. Anak masuk sekolah rendah mama pening. Masuk sekolah menengah pun sama. Hatta hendak memilih bidang dan tempat pengajian selepas sekolahpun, mama juga yang pening.
Agaknya 'pening' ini memang tugas mama.
Ketika kawan-kawannya sibuk memohon program asasi atau matrikulasi, saya mencadangkan program diploma.
Alasan saya biarlah dia memperlahankan langkah sedikit sambil menikmati masa belajar. Sambil-sambil itu, boleh menyertai sebarang program sukarela atau kursus untuk menambah nilai diri. Bagus juga untuk meningkatkan keyakinan diri dan kembali bersaing. Pemilihan kursus juga telah terjamin.
Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan pelajar-pelajar tingkatan lima, tahun peperiksaan SPM adalah amat "menyesakkan".
Saya nampak bagaimana pelajar "all out" semasa persediaan.
Semua pelajar dalam momentum mereka sendiri. Kadang tidak terkejar oleh cikgu senior ini. Persaingan berterusan untuk menempatkan diri ke peringkat seterusnya.
Kakak mengambil masa juga untuk mempertimbangkan cadangan saya. Saya faham, dia terasa kebolehannya dalam akademik diragui. Apa tidaknya, pelajar lepasan sekolah berprestij menyambung pelajaran peringkat diploma?
Saya juga mencadangkan perkara yang sama kepada pelajar-pelajar saya.
Sekarang, selepas dua tahun setengah berlalu. Saya berani katakan eksperimen ke atas anak sendiri ini berjaya. Alhamdulillah.
Kakak berjaya menamatkan pengajian diplomanya dengan keputusan cemerlang. Dia akan terus mendaftar ke tahun dua peringkat ijazah pertama.
Manis sekali kejayaannya. Pelajar yang menerima cadangan saya juga menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.
Alhamdulillah.
#cganis - tak ada eksperimen gagal
No comments:
Post a Comment