Alasan 5 : Melepaskan
Usai sesi bersenam, saya bergerak ke tapak Flea Market Taman Pantai Gelora, Kuantan. Sekadar meninjau apa yang menarik.
Rata-rata mereka yang terlibat menjual pakaian 'pre loved'.
Ada juga yang menjual mainan lama. Berkualiti bahannya. Nampak masih cantik. Yang menarik perhatian saya ialah koleksi Teenage Mutant Ninja Turtle. Mungkin akan bertemu jodoh dengan pengumpul mainan pagi ini. Ada potensi untuk terjual.
Serta-merta saya teringat baju yang saya kumpul di rumah. Biasanya, saya iklankan dalam kumpulan Whatsapp kejiranan. Masya-Allah Tabarakallah, sentiasa sahaja ada sahabat yang berminat dan memerlukannya.
Kebiasaannya, baju yang sudah saya kumpul, akan ditilik kembali. Kali kedua ditilik, langsung tidak ada rasa hendak memberi. Ikatan barang dengan hati manusia pun sampai begitu sekali. Sukar dimengerti. Sayang sangat!
Bagaimana agaknya ketika tiba masa melepaskan orang yang kita sayang pergi?
Mati itu pasti. Kuun fa ya kuun. Jika mereka tidak pergi, mungkin kita yang pergi dahulu. Perjalanan yang hanya dipisahkan oleh jarak masa. Bersediakan kita?
Samada dilepaskan atau melepaskan, sama sahaja. Kedua-duanya memerlukan persediaan.
Semoga kita semua dikurnia iman sekuat ibu Nabi Musa sewaktu menghanyutkan baginda. Bangkit! Kita perlu bersedia.
#cganis - suka lagu Andai Ku Tahu oleh Ungu
#jurnalcikguanis
No comments:
Post a Comment