School vibes 2 : Ada Apa Dengan Sekolah?
Pagi terasa nyaman. Dingin. Mungkin kerana malam tadi hujan mencurah-curah turun ke bumi. Alhamdulillah.
Hari ini peperiksaan SPM akan bermula.
Saya atur langkah cepat-cepat ke tapak perhimpunan pelajar tingkatan lima. Mereka telah siap berbaris. Bersedia untuk berjihad di dalam dewan yang serba indah.
Saya menyaksikan Ilham, seorang pemimpin pelajar akan memimpin bacaan doa. Ilham ditemani Tuan Pengetua yang berdiri di sebelahnya.
Bijak. Segak. Berkarisma. Inilah antara ratusan anak yang kami gilap saban tahun.
Memimpin bacaan doa bukanlah sesuatu yang asing bagi Ilham. Itulah tugas Ilham di dalam kebanyakan majlis di sekolah. Tetapi hari ini, perkara yang amat biasa dilakukan, bertukar menjadi sesuatu yang sukar.
Tangan Ilham menggeletar memegang kertas doa. Dia gementar. Ini permulaan hari penting dalam kehidupannya. Dia sedang belajar.
Saya tidak pernah mengenali ibu bapa Ilham. Namun, siapa pun mereka .. saya pasti, mereka bangga jika melihat Ilham hari ini.
Semua ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah kerana mahu anak mereka cemerlang dalam akademik.
Tetapi sebenarnya, pelajar yang hadir ke sekolah mendapat lebih daripada itu. Lihatlah Ilham. Seorang pemimpin.
Di sinilah mereka meningkatkan kemahiran bersosial. Belajar berkomunikasi, belajar menghormati dan membentuk sahsiah diri.
Mereka berani mengaku salah serta memohon maaf. Malah, paling penting mereka belajar mengendalikan emosi dan menangani masalah dengan bijak.
Merekalah anak-anak kita. Kita menyokong kerana mereka anak-anak kita. Mereka, amanah Allah.
#cganis - suka school vibes
#jurnalcikguanis
No comments:
Post a Comment