GP 9 KALI PERTAMA

 Eksperimen 3: Kali pertama. 


Sepanjang minggu ini, saya terpaksa menggunakan surau untuk mengadakan kelas kerana makmal sedang dibaikpulih. 


Kebetulan telah masuk waktu zuhur ketika kami  rancak berbincang. Saya menawarkan pembesar suara kepada beberapa orang pelajar lelaki untuk melaungkan azan. 


"Saya, teacher." Izz sukarela berdiri dan menyambut pembesar suara daripada saya. "Ini kali pertama saya alunkan azan sejak di sekolah menengah, teacher." 


"Wah! Dah lama betul sejak kali terakhir, " saya membalas. Izz kini berada di tahun akhir sekolah menengah. 


"Apa yang mendorong awak hari ini?" tanya saya. "Saya rasa selesa dengan semua orang di sini," balas Izz. 


Saya senyum sebagai tanda terima  kasih.


Saya selalu menggalakkan pelajar untuk menjadi yang pertama. Biarlah orang lain kaku. Anda jadilah yang pertama itu. 


Yang pertama turun ke surau waktu subuh. Yang pertama menghantar tugasan. Yang pertama menghulurkan bantuan. Yang pertama menjadi sukarelawan. 


Mengambil langkah pertama itu memang sukar. Ianya memerlukan dorongan emosi yang  melebihi perasaan malu. Memerlukan kekuatan mental tanpa memberi alasan. 


Perkara yang sama, saya pesan pada anak-anak pelajar yang memulakan pengajian di kolej. Semester pertama, paling mudah. Pastikan dapat keputusan akademik 4.00. 


Semester pertama dapat 4.00? Apa yang hendak dihairankan sangat? Bukan susah sangat pun, hanya belajar subjek asas sahaja. 


Betul! Inilah namanya peluang dan peluang bukan selalu datang. 


Pengajian dalam semester-semester seterusnya pasti lebih sukar. Namun, mengetahui yang mereka boleh melakukannya dengan baik pada semester satu, semuanya menjadi lebih mudah dan lancar. Bukankah indah, begitu? 


Jadi, apa eksperimen 'kali pertama' anda?


Semoga kejayaan eksperimen kali pertama anda, menjadi batu loncatan kepada kejayaan seterusnya. Insha-Allah, berdoalah! 


#cganis - suka pelajar berebut-rebut mengangkat tangan hendak menjawab soalan.

#jurnalcikguanis

GP HARI 10 POSITIVITI DI MEDIS SOSIAL

Eksperimen 4 : Menyebarkan positiviti. 


"Saya tidak boleh kekal dalam Twitter lama-lama sebab tidak tahan dengan bahasa yang digunakan. Fb dan Ig okay." Respons saya kepada pelajar bila mereka tanya tentang akaun Twitter saya. 


Kata pelajar, "teacher, Fb untuk orang berumur macam teacher." Saya turut tergelak.


"Jadi, sesekali awak patut baca catatan di Fb. Yang menulis di situ, mereka yang berpengalaman, lebih awal makan garam." Cadang saya kepada mereka. Mereka mengangguk tanda setuju. 


Aktif di media sosial jika tidak dikawal, akan membazir masa. Tetapi, jika jelas tujuannya akan memberi banyak manfaat. 


Saya kongsikan beberapa  adab dan tindakan positif yang boleh diamalkan di media sosial.


1. Untuk setiap hantaran yang kita baca, tekan SHARE kalau anda rasa hantaran tersebut bermanfaat. Tulislah komen TERIMA KASIH.


2. Jika tidak setuju, kuis skrin ke bawah laju-laju atau beri PENDAPAT MEMBINA di ruangan komen, jangan beri komen yang sarkastik atau sinis.


3. Jawab PERTANYAAN dengan niat membantu, jangan beri jawapan yang memperlekehkan orang lain.


4. JANGAN TAMBAH 'kuah' pada komen yang tidak elok.


5. Dan elakkan COPY PASTE. Hargai buah fikiran penulis hantaran asal.


Kawan-kawan Facebook,


Ingatlah satu perkara. Di setiap tindak-tanduk kita, ada Malaikat yang mencatat. Doakan semoga buku catatan kita, dicatat dengan perkara yang baik-baik sahaja.


Semoga setiap hantaran dan kelik kita pada butang tertentu, akan memberikan pahala yang mengalir berterusan sebagai bekalan di akhirat.


#cganis - suka cari inspirasi dari group Fb. 

#jurnalcikguanis 

GP 11 PROSES BUKAN HASIL

 Eksperimen 5 : Proses Bukan Hasil


Dalam kelas pada hari Jumaat lepas, saya katakan kepada pelajar:


"Target kita untuk ujian akan datang adalah mendapat markah yang lebih baik daripada ujian lepas, boleh kan? Kalau ada peningkatan gred lagi bagus." 


"Teacher, tak nak kami dapat A?" 

"Dapat A adalah bonus." Jawab saya, sambil mata mengimbas setiap pelajar yang ada. Saya mahu mereka 'rasa' kejujuran permintaan saya. 


Mana mungkin di sekolah berasrama penuh terkemuka muka ini, bilangan A dikesampingkan. Sudah hilang akal barangkali cikgu yang seorang ini. 


Ada pelajar, jika diletak kambing sekalipun di hadapan kelas, dia akan pandai.

Ada pelajar, tidak masuk kelas kerana aktif  ko-kurikulum, tetap juga skor.

Ada pelajar, hadir tuisyen berbayar saban hari, masih tidak menjadi.


Lantas, apa yang kita harapkan daripada mereka? Semua mendapat A lurus?

Mustahil! 


Untuk kesekian kali, kita boleh mencuba eksperimen ini. Beri perhatian kepada proses, bukan hasil. 


Galakkan mereka berusaha secara berterusan. Kita belajar bukan untuk mendapat A semata-mata. 


Belajar adalah tanggungjawab kita untuk mengenal ilmu Allah. Jika Allah izin, bukan sahaja kita mendapat A, mungkin dapat pakej pahala berganda. 


#cganis - dengar kata, kalau pelajar tak skor, cikgu kena pindah. 😬😬

#jurnalcikguanis

GP 13 KONFLIK

 School vibes 1 : Menangani Konflik


Memang menjadi kebiasaan, kami tiba awal di sekolah setiap pagi. Sambil membetulkan tali lehernya, mata Amani liar memandang keluar tingkap. 


 "Aik, kenapa semua orang pakai baju PJ hari ni?" 


"Ujian segak kot," jawab saya acuh tak acuh. Akhir-akhir ini, memang musim ujian segak di kebanyakan sekolah.


"Betul la, kita kena balik tukar baju ni, mama.." 


Kalau diikutkan hati, malas saya hendak berpusing balik ke rumah pada waktu  kemuncak begini. Tapi, takkanlah Amani hendak meneruskan ujian segak dengan pakaian rasmi pengawas, lengkap berkot dan bertali leher? 


Saya tidak mahu meletakkan cikgunya dalam keadaan serba salah. 


Tanpa membuang masa, kami bergegas balik ke rumah dan kembali semula ke sekolah. Kami tiba tepat pada jam 7.30 pagi. 


Saya memandang sekilas pada cermin pandang belakang. Mata Amani sudah berkaca semasa kereta mendaki bukit kecil di hadapan sekolahnya.


Ini kali pertama Amani lambat ke sekolah. Konflik terbesar bagi seorang pelajar yang sangat 'obedient.' 


"Apa Amani nak cakap, kalau cikgu tanya kenapa lambat? Nanti kena marah .. "


"Ceritalah perkara yang sebenar, kalau cikgu marah, minta maaf sahaja," pantas saya menjawab supaya Amani cepat beredar. Saya juga mengejar masa tetapi masih mahu berkongsi rasa. 


Saya meneruskan perjalanan ke sekolah. Amani pasti akan ditegur guru kerana lambat. Tambahan pula dia pengawas bertugas hari ini. Tidak mengapa. 


Sesekali, biarlah dia merasai perasaan itu. Perlu! Kerana hidup ini bukannya indah setiap hari. 


Kita tidak perlu menjadi ibu bapa sempurna sehingga perlu menyelesaikan konflik untuk anak. Tidak perlu bersusah payah bertemu guru untuk memberi penjelasan. 


Beri anak peluang untuk belajar bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku. Biar mereka tahu!


#cganis - kena ajar anak 'survival at school' 

#jurnalcikguanis

GP 14 SEKOLAH MEMIMPIN

 School vibes 2 : Ada Apa Dengan Sekolah?


Pagi terasa nyaman. Dingin. Mungkin kerana malam tadi hujan mencurah-curah turun ke bumi. Alhamdulillah.


 

Hari ini peperiksaan SPM akan bermula.    


Saya atur langkah cepat-cepat ke tapak perhimpunan pelajar tingkatan lima. Mereka telah siap berbaris. Bersedia untuk berjihad di dalam dewan yang serba indah.


Saya menyaksikan Ilham, seorang pemimpin pelajar akan memimpin bacaan doa. Ilham ditemani Tuan Pengetua yang berdiri di sebelahnya. 


Bijak. Segak. Berkarisma. Inilah antara ratusan anak yang kami gilap saban tahun. 


Memimpin bacaan doa bukanlah sesuatu yang asing bagi Ilham. Itulah tugas Ilham di dalam kebanyakan majlis di sekolah. Tetapi hari ini, perkara yang amat biasa dilakukan, bertukar menjadi sesuatu yang sukar. 


Tangan Ilham menggeletar memegang kertas doa. Dia gementar. Ini permulaan hari penting dalam kehidupannya. Dia sedang belajar. 


Saya tidak pernah mengenali ibu bapa Ilham. Namun, siapa pun mereka .. saya pasti, mereka bangga jika melihat Ilham hari ini. 


Semua ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah kerana mahu anak mereka cemerlang dalam akademik. 


Tetapi sebenarnya, pelajar yang hadir ke sekolah mendapat lebih daripada itu. Lihatlah Ilham. Seorang pemimpin. 


Di sinilah mereka meningkatkan kemahiran bersosial. Belajar berkomunikasi, belajar menghormati dan membentuk sahsiah diri. 


Mereka berani mengaku salah serta memohon maaf. Malah, paling penting mereka belajar mengendalikan emosi dan menangani masalah dengan bijak.


Merekalah anak-anak kita. Kita menyokong kerana mereka anak-anak kita. Mereka, amanah Allah.


#cganis - suka school vibes

#jurnalcikguanis

GP 15 KEHEBATAN YANG DITINGGALKAN

 School vibes 3 : Kehebatan Yang Ditinggalkan

  


Di dalam kelas tingkatan satu hari ini. 


Selepas mengajar, saya ajukan beberapa soalan untuk merangsang pelajar berfikir. 


Saya sabar menunggu jika ada pelajar yang hendak berkongsi pendapat. Sengaja saya biarkan masa berlalu. 


Saya imbas setiap pelajar dengan pandangan hampa. Separuh daripada mereka tunduk memandang meja.


Krikk  ..  Krikk  ..


"Siapa di sini, adalah pemimpin pelajar semasa di sekolah rendah?"

"Jujur dengan saya."

Soal saya cuba memancing mereka untuk berbicara.


Lebih daripada separuh pelajar mengangkat tangan. 


"Tahniah, maksudnya awak semua di sini memang hebat-hebat belaka! Betul tak?" 

Mereka mengangguk. 


Mereka ini, dahulunya ... 


Anak  yang selalu naik ke pentas. 

Anak  yang paling banyak berinteraksi. 

Anak yang selalu membantu. 

Anak  yang menjadi contoh di sekolah.  


Tahun pertama di sekolah berasrama penuh terkemuka ini, telah memberi mereka cabaran baharu. 


Bimbang dilabel 'berlagak pandai,' ramai yang memilih untuk tidak terlalu menonjol. Mereka meninggalkan kehebatan yang pernah mereka miliki. 


Jauh-jauh. Jangan ada yang tahu. Malu! 


Kalaulah 'kehebatan' itu boleh dilihat, agaknya  bertimbun-timbun di luar pagar.


Hmm  ..  lemah!


#cganis - suka mengajar pelajar tingkatan satu. 

#jurnalcikguanis

GP 16 SCHOOL ATTACHMENT

 School vibes 4 : Attachment


"Mama, interview tu macamana?"

"Kenapa dengan interview ?" 

 "Rahsia  ... ." 


Sudah dua tiga hari Amani asyik bertanya perihal interview. 


Apabila saya terangkan, cepat pula dia mencelah, "Cukup-cukup."

Agaknya penjelasan saya terperinci sehingga dia sukar untuk memahami. 


Hari berikutnya, Amani memberitahu dia perlu hadir ke sesi temuduga. Saya hanya mengucapkan selamat berjaya tanpa bertanya dengan lanjut. 'Rahsia' tersebut pasti terbongkar apabila dia balik dari sekolah nanti. Saya hanya perlu bersabar.😇


Tapi entah kenapa tengahari itu,  budak mulut becok ini senyap menyimpan rahsia.


Kesabaran saya teruji. Ini tidak boleh jadi! 

Biasanya, dia yang tidak sabar-sabar mahu bercerita. 


Ah! Mungkin interview itu cuma sekadar lakonan main peranan di sekolah. 


Saya fikir, 'bagus cikgu sekolah ni, awal - awal lagi sudah dedahkan pelajar dengan interview.' 


Proses temuduga tentu melibatkan perbincangan antara guru dan pelajar serta akan terbit perasaan ingin tahu pelajar. 


Saya suka attachment pelajar dengan aktiviti sebegini. 


Habis, kisah Amani tadi? 


Temuduga calon ketua murid rupa-rupanya. Calon pilihan Guru Besar. 


#cganis - suka anak join aktiviti sekolah

#jurnalcikguanis

GP 17 SYUKUR UBIKAYU

 Alasan 8 : Syukur.


Tekak ini teringin sangat hendak menikmati ubi kayu rebus. 


Minggu ini sahaja, saya mencari di dua pasar malam berbeza. Tiada rezeki nampaknya. 


Hujung minggu pula, saya meneruskan pencarian ubi kayu rebus di pasar tani. Masih juga belum bertemu. 


Isnin berikutnya, seperti permulaan minggu-minggu yang lain, saya menghantar anak ke rumah pengasuh.


Sebaik sahaja meletakkan barang-barang anak di muka pintu, muncul pengasuh yang saya panggil mak cik. 


 "Anis makan ubi kayu?" tanya mak cik. 


Allahu Akbar! Mak cik menghulur seplastik ubi kayu. Ada yang berwarna kuning, ada juga yang berwarna putih. 


Ya Allah! Betapa Engkau Maha Mendengar. 'Aku minta ubi kayu saja Ya Allah. Kau beri lebih. Dua jenis pula tu.' 

 


Terasa diri sangat istimewa. Dia memberi perhatian kepada kita yang kerdil dan banyak dosa. 


Sekecil-kecil permintaan pun didengarNya. Ubi kayu sahaja! 


Bayangkan sahabat-sahabat,

Jika doa itu kita panjatkan dengan bersungguh-sungguh dan berulang-kali. Dia pasti mendengar dan memberi. 


Maka, nikmat manakah yang kita dustakan lagi? 


#cganis - nak mini cooper sebiji..

#jurnalcikguanis

GP 18 INSPIRASI DARIPADA PELAJAR

 School vibes 5 : Inspirasi


Saya menerima pelawaan beberapa orang bekas pelajar untuk minum petang. 


Sudah beberapa tahun berlalu, semenjak mereka meninggalkan sekolah berasrama penuh terkemuka ini. 


Di pertemuan itu, masing-masing bercerita tentang rencana masa depan mereka. Bahagia saya mendengarnya.


Untuk kesekian kalinya, saya lebih banyak mendengar daripada berbicara.


Mendengar bahawa dalam tempoh beberapa tahun ini, begitu banyak yang mereka harungi. 

Mengetahui yang mereka berusaha mencorak masa depan sebaiknya. 

Dan betapa mereka  amat menghargai pengalaman zaman persekolahan. 


Petang yang ceria dan menyegarkan. Kami berpisah di kala senja mula melabuhkan tirainya. 


Mereka bukan sekadar pelajar, mereka telah menjadi sahabat. 


Hari ini, mereka terbang tinggi. Mengejar impian masing-masing. 

Kata mereka, "terima kasih cikgu."   


Bagi saya, mereka adalah sumber inspirasi. Ayat-ayat spontan mereka, terbit dengan jujur di dalam kelas.


"Cikgu, saya melihat sesuatu yang berbeza. "

"Cikgu, terima kasih sedarkan saya." 

"Teacher, you sound just like my mother." 


Itulah penghargaan yang sebenar. 

Sungguh! 


Untuk semua bekas pelajar di luar sana,  Semoga anda dapat memberi sumbangan kepada ummah. Teruslah berjuang! 


#cganis - sedang menunggu poskad. 

#jurnalcikguanis

GP 19 NETIZEN

 Ada orang,


Ketika dia berkata-kata, kita terkesima. Semua butir bicaranya bermakna. Terpesona kita yang menadah telinga. Masha-Allah.


Dia menegur dalam bicara yang sopan. Tutur kata tersusun rapi supaya tiada hati dilukai. Sehinggakan, kita yang mendengar malu sendiri.


Ada orang,


Mula sahaja berbicara, terasa seperti nanah mengalir dalam telinga. Sakit, busuk dan geli. Mudah benar dia menghakimi. 


Sedang dia mencari perhatian duniawi, ada jiwa yang sedang teruji. Ada yang sebak menahan luka di hati. 


Inilah dunia. 


La tahzan. Allah ada. 


#cganis - siapa agaknya ketua jabatan netizen? 

#jurnalcikguanis

GP 20 PELAJAR TIDUR

 School vibes 6:  


Ada seorang pelajar, kerap sangat tidur di dalam kelas. Saya menegur dan memberi jalan. Namun, teguran saya tidak diendahkan.


Dia tetap dengan sikapnya yang tidur di dalam kelas yang seterusnya. Sehingga saya merasakan, 'budak ni, ada penyakit agaknya.' 


Khabarnya, di dalam kelas lain pun dia nyenyak begitu. 


Tidur sepanjang waktu pengajaran tanpa menghiraukan cikgu yang sedang mengajar di hadapan. Allahuakbar. 


Ya, di sekolah berasrama penuh terkemuka ini, kami juga tidak terkecuali. 


Mereka lupa bahawa cikgu itu, bukan setakat mengajar dan menyampaikan maklumat. 


Tetapi ketika itu, 

Ada moral yang diselitkan. 

Ada pesanan yang dititipkan. 

Ada pengalaman yang diceritakan.

Ada harapan yang menjadi sandaran. 


Dan, 

Apabila saya menceritakan tentang adab dan kesungguhan Imam Shafie menuntut ilmu, mereka satu kelas melopong. 


"Sebab itulah Islam menganjurkan kita supaya menuntut ilmu daripada guru." Saya mengakhiri cerita. 


"Lagi cikgu?" Umpan mereka supaya saya terus berbicara. 


Memandangkan pelajar berkenaan masih juga tidur, saya mengetuk mejanya. 

"Itu tugasan untuk hari ini, cari buku atau maklumat tentang Imam Shafie."


"Baca, nanti awak kongsikan dalam kelas akan datang," kata saya sambil memandang pelajar yang baru saya kejutkan. 


#cganis - bila cikgu tidak ada, baru berani tidur. 

#jurnalcikguanis

GP 22 AJAK IBU BERSENAM

 Untuk semua sahabat muka buku yang bergelar ibu. 

.

.


Apabila berkeluarga, kita banyak  menumpukan masa dan tenaga kepada rumah tangga. Kesibukan menguruskan keluarga dan kerjaya memang tidak pernah habis. 


Masa untuk diri sendiri? Entah jatuh tempat yang ke berapa! 


Kita perlu merancang dan mengaturkan kembali masa supaya dapat bersenam. Sekurang-kurangnya dapat  menjarakkan sedikit penyakit yang kian menghampiri. Kita mesti cari jalan untuk menidakkan alasan. 


Betul! Penyakit itu ujian. Tetapi, kita mesti meraikan masa sihat sebelum tibanya sakit. Apabila penyakit hinggap, sukar pula  hendak beribadat.  


Saya  luangkan masa mendaki bukit berdekatan. Kerap kali saya berselisih dengan beberapa kumpulan warga emas.


'Masya-Allah! Bertenaga betul pak cik-pak cik berbangsa Cina ni.' Melihat kepada rupa dan fizikal, umur mereka dalam lingkungan 70-an. 


Saya tidak boleh mengalah. Hello? Saya baru 40an! 

.


Namun, ada hari-harinya semangat itu pudar warnanya.  Seribu alasan bersarang di dalam minda. Banyak sangat 'tapi' dan 'kalau'. Sudahnya badan pun menjadi lemau.


Kata orang hendak seribu daya, mahu seribu cara. Alhamdulillah, halangan itu tidak melibatkan orang lain. Hanya diri sendiri dan boleh diatasi. 


Jom kita bersenam, kekal bersemangat. Insya-Allah, kita hendak sihat sehingga ke hujung usia. 


#cikguanis - mak cik yang joging dengan outfit yang outdated😎. .

#jurnalcikguanis

GP 23 RAKAN TRAVEL

 Saya mempunyai beberapa orang rakan Facebook yang istimewa.


Istimewa kerana cara kami berkenalan agak berbeza daripada biasa. 


Mereka bukan rakan lama satu sekolah.  Bukan rakan sepermainan. Bukan juga "mutual friend" kepada sesiapa. Bukan semuanya. 


Kami berkenalan semasa sama-sama merancang untuk bermusafir.  Komunikasi kami hanya di media sosial. Kali pertama kami bersua adalah ketika hari berlepas penerbangan kami. Di lapangan terbang. Kami memang "totally strangers." 


Ramai yang bertanya, "Tidak kekokkah  menghabiskan masa dengan orang baru?  Di tempat baru?" 


Bagi saya, kalau banyak sangat yang kita fikirkan, memang rancangan tidak akan berhasil. Husnudzon. Kita tenang-tenang. Doa sahaja yang baik-baik. 


Sepanjang bermusafir, kami dengan mudah menjadi rapat. Pada masa yang sama saling bergantung harap. Kami sama-sama mencari tempat, 'Kat mana nak solat ni?'


Biasanya kami bersolat di belakang bangunan, di bawah tangga atau di pantai yang terbuka. 

.

.


Usai solat, kami dikelilingi camar di tepi pantai. Indah sekali. 

Kami membiarkan masa berlalu dengan hanya duduk di bangku menikmati keindahan alam. 

Kami belajar budaya masyarakat setempat. 

Kami sama sahaja. Inginkan ketenangan dalam hiruk-pikuk kehidupan. 

.

Betul! Kami berkasih sayang kerana Allah. Asbab bermusafir, kami membina silaturahim. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami sepanjang permusafiran.


Betul kata orang. Jauh berjalan luas pandangan. Banyak pengalaman. Ramai rakan. 


Doa saya, semoga kita dipertemukan dengan sahabat yang baik-baik, dipermudahkan urusan bermusafir dan mendapat manfaat daripadanya. 


#cganis - belum renew buku merah. 

#jurnalcikguanis

GP 24 DHT

 School vibes:


Di sekolah berasrama penuh terkemuka ini, kami memulakan hari persekolahan dengan slot DHT. Solat Dhuha dan taubat. 


Ya. Setiap hari.


Hari ini, giliran saya memantau perjalanan DHT. Saya memasuki ruang solat pelajar puteri. Allah, sungguh menyedihkan! 


Ada yang sedang terbongkok-bongkok menyiapkan tugasan. Ada yang berborak sesama sendiri. Ada juga yang sedang membaca. Ada yang langsung tidak mengendahkan kehadiran saya.


Yang bersolat? Hanya segelintir. 


'Beruntung pelajar-pelajar ini, ' getus hati kecil saya. Mereka didedahkan dengan DHT seawal usia belasan tahun. Saya dulu umur macam ni pun tak tahu pasal solat dhuha. 

Saya cemburu.


"Minggu depan, awak semua akan menduduki peperiksaan, gunakan masa ini untuk meminta kepada Allah. Yang masih  lemah, kalau kawan lain buat sunat dua rakaat, awak sepatutnya buat empat rakaat."


Rasa yang terbuku menyebabkan suara saya meninggi. Geram!


Saya sambung lagi, "Nanti, apabila awak  masuk universiti dan bekerja, awak akan menyesal tidak buat DHT ketika ada peluang."


Saya perhati seorang demi seorang pelajar yang ada. Bukan semuanya uzur. Takkanlah! 

Ada yang  tunduk memandang karpet. Ada yang berbisik-bisik sesama mereka. 


Selepas merekodkan nama mereka, saya berlalu untuk meninjau ke bahagian pelajar putera. Alhamdulillah. Tiada masalah. 


Usai menguruskan semuanya, saya terus ke jabatan dan mengadap komputer. Cuba menyelesaikan sedikit kerja sebelum ke kelas dengan perasaan geram masih berbekas di hati. 


Tiba-tiba seorang pelajar puteri datang ke meja. Katanya, "Cikgu, saya minta maaf. Kata-kata cikgu di surau  tadi telah menyedarkan saya. Terima kasih cikgu." 


Saya menghela nafas kelegaan. Sekurang-kurangnya, ada pelajar yang dihimpit rasa insaf. 


Ungkapan itu telah meleraikan semua bebanan tugas saya hari itu. Terasa ringan, seolah-olah semuanya hampir selesai.


#cganis - bertabahlah cikgu. 

#jurnalcikguanis

GP 25 KISAH BUKU

 Kisah Buku


"Mama, macam mana mama boleh tahu semua perkara?" Tanya Amani bila semua persoalannya saya rungkai satu persatu. 


"Tu. Nampak tak tu?" Jawab saya sambil menjuihkan bibir ke arah buku-buku yang tersusun di rak. Itulah jawapannya. 


Sehingga sekarang saya masih selesa membaca buku fizikal. "Outdated" sedikit bagi sesetengah orang.  Ramai orang sekarang memilih untuk membaca e-book secara atas talian. Mungkin lebih mudah, cuma perlu ada gajet sahaja. 


Ada juga buku yang dibeli, belum habis saya dibaca. Ada yang telah dibaca berulang kali. Yang seronok tentang membaca ini, kita seperti sedang mendengar penulis berbicara. 


Ada beberapa buah buku yang saya sangat sayang. Buku-buku ini mengubah hidup saya. 


Ia  mendedahkan sisi berbeza kehidupan. Ilmu yang tidak akan diperolehi dari mana-mana sumber. Buku-buku ini umpama buku teks. Saya akan baca dan rujuk berulang kali. 


Ia menolak saya supaya keluar dari zon sedia ada. Hidup perlu ditambahbaik. Kita perlukan nilai tambah dalam kehidupan supaya ianya menjadi lebih berkualiti dan bermakna. 


Lebih baik lagi, sekiranya dapat  menyumbang dan berkongsi ilmu tersebut. Bukankah itu di antara tugas kita sebagai khalifah? 


Antara bukunya ialah Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok. Buku ini ditulis oleh Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim. 


Kalau ada yang meminta cadangan bahan bacaan, saya akan syorkan buku ini. Kalau ada yang meminjam, berulang kali saya akan tanya bila mahu dipulangkan. Takut hilang! 


Buku ini mengandungi kisah-kisah bermakna yang berlaku dalam kehidupan penulis. Dan bagaimana peristiwa tersebut menerbitkan keinsafan di hati penulis.


Sesungguhnya setiap apa yang berlaku adalah dengan kehendak Allah. Allah merancang sesuatu peristiwa supaya kita mengambil ibrah daripadanya. Tatkala membaca, tidak terkira berapa kali air mata keinsafan menitis tanpa sedar. Luluh jiwa, kerdil terasa. 


Kisah yang tidak berkaitan secara langsung dengan kita.


Tetapi dakwahnya, Masya-Allah! Terkesan kita yang membaca. 


#cganis - baca semua jenis buku. 

#jurnalcikguanis

DARI DIPLOMA KE KELAS PERTAMA part 2

 Berbekalkan keputusan SPM 7A, peluang untuk mendapat biasiswa penuh untuk peringkat seterusnya, bukan sahaja tipis, tetapi langsung tiada h...