GP 8 READING CHALLENGE

 Eksperimen 2: Membaca? 


Tahun 2020, kita digemparkan dengan Covid-19. Kita mengalah dengan tuntutan keadaan. Kita tewas dengan makhluk Allah bersaiz lebih kecil daripada zarah.


Ketika inilah rumah yang besar terasa sempit. Anak dua tiga orang pun sudah terasa sesak. Masa siang 12 jam terasa seperti dua jam. Stok makanan seminggu hanya bertahan tiga, empat hari. Maklumlah, rumah penuh diisi. 


Anak-anak pula melekat dengan gajet sehingga sukar dipisahkan. Kita mencuba pelbagai kaedah untuk menjarakkan anak-anak dengan gajet. Bimbang mereka ketagihan.


Saya juga tidak terkecuali. Ini antara kaedah yang saya gunakan untuk memastikan Amani yang berusia sepuluh tahun ketika itu, belajar Bahasa Melayu di rumah. 


>READING CHALLENGE<


1. Pilih sebuah buku novel kanak-kanak.


2. Cabarannya: beliau perlu menghabiskan novel kanak-kanak setebal 247 muka surat dalam tempoh tiga hari.


3.  Ganjaran untuk Amani:

 - RM30 jika beliau menghabiskan buku tersebut dalam tempoh dua hari. 

- RM20 jika buku dihabiskan dalam tempoh tiga hari. 

- Jika gagal, beliau tidak mendapat apa-apa. (Kebetulan Amani sedang mengumpul duit untuk membeli patung jelita, si Barbie)


 

Sebagai penilaian, saya luangkan sedikit masa dan meminta Amani bercerita setelah selesai beberapa  bab dibaca.


Berbaloi juga melabur RM30 untuk seorang budak sepuluh  tahun yang obses dengan YouTube. Habis buku tersebut dibacanya dalam tempoh dua hari.


Saya meminta Amani membuat refleksi. Dan refleksinya berakhir begini. "Amani... tidak minat sangat membaca. Amani baca pun .. sebab mama suruh."


Oh,  anak! 

Mama pujuk hati, "tidak mengapa, tidak berjaya kali ini, mama cuba lagi nanti!" 


#cganis - beri galakan tanpa jemu.

#jurnalcikguanis

GP 7 DIPLOMA

 Eksperimen  1: diploma vs asasi/matrikulasi


"Saya cadang awak mohon program diploma." Saran saya kepada beberapa orang pelajar. 


Kami sekadar berborak kosong tentang pemilihan kursus dan tempat belajar selepas SPM. 


Mereka ketawa kecil. "Diploma, teacher?" 

Saya turut sama ketawa. Saya faham apa yang mereka fikirkan. Mana mungkin pelajar lepasan sekolah berasrama penuh terkemuka ini, meneruskan pengajian peringkat diploma. Apa kelas? 


Saban tahun juga saya memberi cadangan yang sama kepada pelajar-pelajar yang agak rapat dengan saya. Tiada diantara yang mencuba. Kalau adapun, kerana mereka terpaksa. Itupun setelah permohonan ke program Asasi dan Matrikulasi gagal. 


 

Percayalah sahabat-sahabat. 


Ini adalah masa kritikal mereka. Ketika pelbagai tawaran hadir depan mata, ketika itulah pilihan menjadi semakin sukar. 


Namun tidak sukar untuk mama ini meyakinkan anak sendiri untuk mencuba. 


Masa berlalu pantas. Alhamdulillah. Tabarakallah. Mereka yang memilih program diploma telah berjaya dengan cemerlang. Mereka akan terus mendaftar ke tahun kedua pengajian ijazah pertama. 


Mereka kembali bersaing dengan rakan sebaya dengan dua kelebihan. Segenggam diploma dan kursus pilihan pertama. 


Ya,  Alhamdulillah. Eksperimen ini berjaya!


#cganis - peluang kita lebih banyak jika ramai yang leka

#jurnalcikguanis

GP 5 MELEPASKAN

Alasan 5 : Melepaskan


Usai sesi bersenam, saya bergerak ke tapak Flea Market Taman Pantai Gelora, Kuantan. Sekadar meninjau apa yang menarik. 


Rata-rata mereka yang terlibat menjual pakaian 'pre loved'. 


Ada juga yang menjual mainan lama. Berkualiti bahannya. Nampak masih cantik. Yang menarik perhatian saya ialah koleksi Teenage Mutant Ninja Turtle. Mungkin akan bertemu jodoh dengan pengumpul mainan pagi ini. Ada potensi untuk terjual.


Serta-merta saya teringat baju yang saya kumpul di rumah. Biasanya, saya iklankan dalam kumpulan Whatsapp kejiranan. Masya-Allah Tabarakallah, sentiasa sahaja ada sahabat yang berminat dan memerlukannya. 


Kebiasaannya, baju yang sudah saya kumpul, akan ditilik kembali. Kali kedua ditilik, langsung tidak ada rasa hendak memberi. Ikatan barang dengan hati manusia pun sampai begitu sekali. Sukar dimengerti. Sayang sangat!


Bagaimana agaknya ketika tiba masa melepaskan orang yang kita sayang pergi? 


Mati itu pasti. Kuun fa ya kuun. Jika mereka tidak pergi, mungkin kita yang pergi dahulu. Perjalanan yang hanya dipisahkan oleh jarak masa. Bersediakan kita? 


Samada dilepaskan atau melepaskan, sama sahaja. Kedua-duanya memerlukan persediaan. 


Semoga kita semua dikurnia iman sekuat ibu Nabi Musa sewaktu menghanyutkan baginda. Bangkit! Kita perlu bersedia. 


#cganis - suka lagu Andai Ku Tahu oleh Ungu

#jurnalcikguanis

GP 4 BAHAGIA

 Alasan 4 : Bahagia


Sejak pagi semalam, saya sudah merasa bahagia. Bahagia sebab sudah terbau-bau hujung minggu. Bahagia sebab tahu ada banyak aktiviti kegemaran menunggu.


Kebiasaannya, mesti bersenamrobik percuma di taman tepi pantai. Sambil bersenam, 'catch up' cerita dengan  geng ibu berlainan latar belakang pekerjaan. 


Penting untuk kita membina 'networking'. Sedikit-sebanyak, mereka boleh membantu bila perlu. Maklumat pun bertambah, tidaklah cerita yang sama sahaja setiap hari.


 Ada juga di antara mereka yang saya kagumi dan menjadi inspirasi. 


Ada ibu pejuang kanser. Bukan seorang diri, tetapi diuji bersama suami. Allahu Akhbar! Hebat ujian mereka. Suami isteri didiagnos kanser. Tetap gembira dan datang senam bersama. 


Ada  ibu warga emas, gigih berusaha menurunkan berat badan. Katanya, "nak mudah beribadat." Kak Zie selalu diingatkan oleh instruktor supaya bersenam mengikut kemampuan. 


Bila ditanya, "tak penat ke, Kak Zie?"

"Akak suka .. rasa cergas lepas senam." Jawapan yang diiringi dengan ketawa kecil. Kak Zie bahagia dengan pilihannya. Ramai rakan seusia Kak Zie memilih untuk bersenang-senang dengan cucu di hujung minggu.


Di taman ini, ada yang bahagia dengan hanya mendongak ke langit biru. Melihat tompok awan putih bergerak perlahan-lahan ditiup angin. 


Ada yang termenung merenung jauh lautan luas. Sambil melihat bot-bot  nelayan keluar masuk melalui muara sungai. Bahagia merasai lembutnya bayu laut menerpa pipi. 


Ada yang bahagia membakar begitu banyak kalori. Kemudian terus menikmati teh tarik sebagai sarapan pagi. Samalah macam saya yang sedang menaip ini.


Kita tidak perlu alasan untuk bahagia. Bahagia itu pilihan kita. Berusahalah mencoraknya sepenuh jiwa. Sentiasa! 


#cganis - bahagia itu, kita yang cari. 💞

#jurnalcikguanis

GP 3 TANGGUNGJAWAB

Alasan 3 : tanggungjawab


"Mama....?"

Saya menunggu butir-butir perkataan yang bakal terbit dari bibir pendiam itu.


Anak yang  seorang ini, kalau dah mula berbicara, kita yang mendengar kena banyak bersabar. Saya setia menunggu bicara yang bakal dilontar. 


Satu-satu kosa kata terbit. Tersusun. Teratur ayatnya, tetapi ya ampun. Lambat! 


"Boleh abang cik beli.. kasut kawad?"


Saya terdiam dan 'loading' sekejap. Bukan berkira tentang pembaziran kerana kegunaan kasut tersebut yang mungkin sesekali sahaja akan digunakan.


Bukan juga kerana tidak mampu. Cuma, terpaku dengan permintaan yang satu. Namun, malam itu juga kami keluar cari sepasang kasut kawad. 


Balik berkawad hari sukan, dia cerita, 


"Ketua platun kami demam teruk tetapi datang juga untuk perbarisan. Habis sahaja perbarisan terus balik." 


"Itulah tanggungjawab namanya." Sambung saya.


Tanggungjawab itu sukar diajar. Mesti dialami sendiri untuk belajar. 


Inilah universiti kehidupan!!


#cganis - sedang mendalami ikhlas.

#jurnalcikguanis

ASASI VS DIPLOMA


Eksperimen berjaya 1.


Memang betul. Kita tidak akan dapat apa yang kita hendak, tapi kita akan dapat apa yang selayaknya untuk kita. Itu yang terbaik.


Selepas tamat SPM, kakak masih keliru dengan pemilihan kursus. Yang bagusnya, anak yang seorang ini tidak terpengaruh dengan pemilihan kursus rakan-rakan. Tidak juga senang-senang mengikut cadangan mama. Malah, dalam pada kami sama-sama berbincang dan membuat keputusan, berlaku juga kesilapan.


Percayalah sahabat-sahabat. 


Ini adalah masa kritikal  kita. 


Anak daftar masuk tadika, mama pening. Anak masuk sekolah rendah mama pening. Masuk sekolah menengah pun sama. Hatta hendak memilih bidang dan tempat pengajian selepas sekolahpun, mama juga yang  pening.


Agaknya 'pening' ini memang tugas mama.


Ketika kawan-kawannya sibuk memohon program asasi atau matrikulasi, saya mencadangkan program diploma. 


Alasan saya biarlah dia memperlahankan langkah sedikit sambil menikmati masa belajar. Sambil-sambil itu, boleh menyertai sebarang program sukarela atau kursus untuk  menambah nilai diri.  Bagus juga untuk meningkatkan keyakinan diri dan kembali bersaing. Pemilihan kursus juga telah terjamin. 


Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan pelajar-pelajar tingkatan lima, tahun peperiksaan SPM adalah amat "menyesakkan". 


Saya nampak bagaimana pelajar "all out" semasa persediaan. 


Semua pelajar dalam momentum mereka sendiri. Kadang tidak terkejar oleh cikgu senior ini. Persaingan berterusan untuk menempatkan diri ke peringkat seterusnya.


Kakak mengambil masa juga untuk mempertimbangkan cadangan saya. Saya faham, dia terasa kebolehannya dalam akademik diragui. Apa tidaknya, pelajar lepasan sekolah berprestij menyambung pelajaran peringkat  diploma?


Saya juga mencadangkan perkara yang sama kepada pelajar-pelajar saya. 


Sekarang, selepas dua tahun setengah berlalu. Saya berani katakan eksperimen ke atas anak sendiri ini berjaya. Alhamdulillah. 


Kakak berjaya menamatkan pengajian diplomanya dengan keputusan cemerlang. Dia akan terus mendaftar ke tahun dua  peringkat ijazah pertama. 

Manis sekali kejayaannya. Pelajar yang menerima cadangan saya juga menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang. 


Alhamdulillah. 


#cganis - tak ada eksperimen gagal


DARI DIPLOMA KE KELAS PERTAMA part 2

 Berbekalkan keputusan SPM 7A, peluang untuk mendapat biasiswa penuh untuk peringkat seterusnya, bukan sahaja tipis, tetapi langsung tiada h...