Macamana nak mula ni,,? Semua bahan pengajaran ada di sekolah. OK, muat turun semua bahan yang perlu dulu. Mujurlah kebanyakan bahan ada dalam external hard drive dan dalam storage microsoft. Tambahan pula guru telah menggunakan Buku Rekod Mengajar atas talian, maka ini memudahkan kami untuk trace pelajaran terakhir di dalam kelas.
Sebenarnya semua pelajar telah dibekalkan dengan tugasan untuk cuti pertengahan semester (1 minggu). Setelah PKP diumumkan untuk 2 minggu, kami hanya menambahkan sedikit tugasan yang diberi. Namun bila ramai yang mempertikaikan tugas guru semasa PKP, pihak pentadbiran mengeluarkan jadual dan mencadangkan beberapa medium yang boleh digunakan guru untuk pengajaran atas talian, Memandangkan semua pelajar tidak dibenarkan membawa telefon pintar ke sekolah, hubungan guru dan pelajar sangat terbatas semasa PKP. Kami tiada medium untuk menyampaikan maklumat secara terus kepada pelajar, yang rata-rata tinggal di merata daerah di Pahang, Terengganu ,Selangor, Kuala Lumpur dan seorang dua dari negeri-negeri lain. Namun, pentadbiran boleh membina akaun e-mail microsoft untuk setiap pelajar, maka pentadbiran mencadangkan Microsoft team sebagai medium utama. Namun, kebanyakan guru mempunyai 'mazhab' masing-masing tentang perkara ini. Ada yang mazhab Whatsapp, mazhab telegram dan mazhab google classroom. Pemilihan mazhab ini lebih kepada keselesaan guru dan capaian internet pelajar.
Untuk berlaku adil kepada semua pelajar, seorang guru akan mengendalikan satu level. Contoh, sebagai penyelaras Biologi tingkatan 4, saya akan sediakan bahan dan tugasan untuk semua pelajar tingkatan 4. Mereka termasuklah pelajar-pelajar yang tidak diajar oleh saya. Subjek lain juga begitu. Jadi , tiada alasan yang guru tertentu sahaja yang mengajar dan yang lainnya tidak.
Tidak terkecuali juga, ibu bapa turut membandingkan kaedah yang kami gunakan dengan sekolah-sekolah hebat lain. Kami faham dan kami tetap mencuba. Malah kami cuba melayan semua medium yang pelajar gunakan. Ada yang berada di kampung, di felda, di bandar menjaga adik-adik, tiada internet, tiada telefon pintar atau hanya satu telefon pintar serta berbagai ragam lain. Semuanya adalah pertama kali buat kita. Sementelah PKP yang jatuh dalam bulan Ramadhan, ramai pelajar yang tersasar dari jadual yang sepatutnya. Kelas 8 pagi...tidak seorang pun muncul di alam maya. Dan bila tiba masa cikgu sign out, telefon tidak putus-putus berbunyi.
Contoh: 2 pelajar ini menghubungi saya jam 11.20pm. Saya telah jauh diulit mimpi ketika ini. Sikap pelajar sebegini menyebabkan guru seakan bertugas sehari suntuk. Waktu jadual yang telah ditetapkan untuk pengajaran dan komunikasi(pentadbiran), peruntukan masa untuk menyemak segala tugasan(sendiri) dan melayan masalah pelajar lewat malam(overtime/anytime).
Pada masa yang sama, telefon tidak berhenti berbunyi di saluran whatsapp dan telegram kelas Amani (tahun 4). KAFA juga berlangsung seperti biasa. Telefon pintar mama lah mangsanya. Arahan dari pentadbiran juga di terima dari masa ke semasa. Mesyuarat jabatan tetap berlangsung atas talian, rekod pengajaran ditulis seperti biasa, juga atas talian. Keluarga perlu perhatian, penglibatan anak dengan sekolah mereka perlu dipantau.
Itu pun, ramai yang menganggap para pendidik 'makan gaji buta'
No comments:
Post a Comment