Anakku dan kes disiplin- realiti kehidupan di asrama


        Separuh semester kedua hampir habis. Peperiksaan penting menghampiri, samada SPM atau IGCSE. Tekanan di mana-mana. Kes disiplin juga menjengah. Tidak kira kes ringan, sederhana atau berat. Malah di MRSM, kami mempunyai JDM ( jemaah disiplin maktab) dan  JDRM (jemaah disiplin rayuan maktab) yang akan membicarakan kes-kes salah laku pelajar mengikut kategori.      
        Ada juga ibubapa yang menyalahkan pihak sekolah bila anak mereka terbabit dengan kes disiplin. Tidak perlu menuding jari kepada sesiapa sebenarnya.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan peraturan asrama dapat membentuk peribadi remaja. Menyerlahkan bakat mereka dari segenap segi.  Di sinilah mereka belajar berdikari, memimpin, membentuk jatidiri anak bangsa, mengalunkan azan, menepati masa dan bergaul mesra malah mengenali si teruna dan dara. Ada pelajar saling mendorong  pasangannya untuk berjaya tetapi ramai yang hanyut dalam gelora jiwa remaja. Remaja yang nipis iman terdorong mengikut nafsu. Akibatnya akademik hancur, dalam kelas mengelamun dan akhirnya jauh tertinggal di balakang rakan-rakan lain.
Kehidupan di asrama juga mengajar sesuatu yang lebih dari yang boleh didapati di kelas formal. Anak- anak juga dapat membentuk sikap toleransi terhadap kawan-kawan, rakan senior dan peraturan asrama. Pengalaman bergaul sesama pelajar dapat mempertingkatkan kemahiran “inter personal “ anak-anak. Pengalaman ini yang akan banyak membantu anak-anak selepas menamatkan alam persekolahan.
Ramai ibubapa tidak dapat menerima hakikat bahawa anak  mereka menimbulkan masalah di sekolah. Kalaupun boleh menerima, keadaan pasti sangat sukar untuk si ibu , ayah dan anak berkenaan. Selalunya pihak sekolah  yang akan dituduh tidak menjaga si anak sehingga mereka terlibat dalam kes disiplin. Sungguh tidak adil!  Guru menjaga 700 anak. Semuanya bukan di bin dan di bintikan dengan nama mereka. Mereka dipersalahkan!  Hakikat sebenar: guru, warden asrama dan pihak sekolah memang tidak dapat memastikan pelajar tersebut akan berubah. Mungkin pelajar tersebut patut mendapat sepenuh perhatian di rumah, daripada orang yang sepatutnya. Malah jika keadaan semakin buruk di rumah, pihak sekolah tetap akan dipersalahkan. Sekolah tetap dikatakan tempat di mana anak mula belajar berperangai tidak senonoh. Sekolah lagi!
Sebagai ibu bapa, saya rasa kita patut berhenti menuding jari kepada pihak sekolah. Mempertikaikan setiap tindakan sekolah adalah amat tidak patut. Kita harus melihat sisi positif setiap tindakan sekolah. Paling wajar  kita mengucapkan terima kasih kepada guru kerana tindakan mereka mungkin menyelamatkan  atau sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepada anak kita.
Saya juga mempunyai anak di asrama, malah hampir 95% kawan-kawan saya menghantar anak-anak mereka ke asrama. Namun kita tidak mampu menjaga anak kita 24jam. Kita juga tidak boleh mengharapkan warden menjaga anak kita sebaik kita menjaga mereka. Hanya Allah sahaja sebaik-baik penjaga. Semoga anak-anak kita dilindungi Alah SWT. Wallahua'lam. 


           


           


No comments:

Post a Comment

DARI DIPLOMA KE KELAS PERTAMA part 2

 Berbekalkan keputusan SPM 7A, peluang untuk mendapat biasiswa penuh untuk peringkat seterusnya, bukan sahaja tipis, tetapi langsung tiada h...