FEB 2021
Banyak betul kisah "kali pertama" yang muncul sejak kebelakangan ini. Kali pertama guru ke udara dalam siaran TV Pendidikan, ramai yang menegur tetapi kedengaran seperti menghentam. Hari Isnin depan, pelajar tahun satu akan ke sekolah sendirian untuk kali pertama. Dengarnya, ramai juga mak-mak yang kecewa kerana tidak dapat mengintai anak di sebalik tingkap kelas .
Saya selalu menggalakkan pelajar saya menjadi orang pertama menjawab soalan di dalam kelas. Bukan masa yang menjadi taruhan. Jawapan yang baik bukanlah jawapan yang diberi sebaik soalan habis, tetapi beberapa ketika selepas soalan habis. Ini kerana otak memerlukan masa untuk menterjemah, menganalisa dan memberi jawapan.
Soalan pertama juga biasanya adalah soalan yang mudah. Jika pelajar dapat mengatasi soalan pertama, secara psikologinya mereka lebih yakin untuk menerima pengajaran dalam kelas untuk hari tersebut.
Perkara yang sama, saya pesan pada anak-anak pelajar yang memulakan pengajian kolej. Semester pertama, paling mudah. Pastikan awak dapat 4.0 jika boleh. Ini akan menjadi 'pendorong' terhebat awak untuk terus cemerlang pada semester seterusnya.
Berita pertama saya terima dari Addina yang mendapat 4.0 dalam semester 1 Diploma Teknologi Maklumat. Kemudian Iman juga berkongsi berita gembira mendapat 4.0 untuk semester 1, Program Asasi Perubatan. Seterusnya Balqis juga berjaya mendapat 4,0 untuk semester 1 Program Asasi UM. Semoga kejayaan mereka dalam semester pertama ini akan terus mendorong mereka dan rakan -rakan lain untuk terus mencipta kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Mungkin ramai berpendapat memang mudah untuk mendapat 4.0 semester 1 kerana subjek lebih mudah. Betul!! Ini namanya peluang dan peluang bukan selalu datang. Pengajian dalam semester-semester seterusnya pasti lebih sukar, tetapi bila mengetahui yang mereka boleh melakukan dengan baik pada semester 1, secara tidak langsung, semuanya menjadi lebih mudah dan lancar.
Saya teringat kali pertama mengajar menggunakan Bahasa Inggeris. Pelajar terkebil-kebil. Bukan kerana mereka tidak memahami kandungan silibus, tetapi mungkin cuba meneka apa yang saya 'pronounce'. Mungkin mereka gelihati. Selalunya saya akan tanya pelajar yang paling bijak Bahasa Inggeris dalam kelas tersebut. Minta tolong beliau betulkan 'pronounciation' saya.
UPDATE: Selepas pertemuan kami secara google meet pada malam 19/2, Khairul juga berkongsi berita gembira tentang kejayaan semester pertamanya 3.82. Kami semua bersorak bangga. Katanya, kehidupan kampus telah mengubahnya menjadi lebih baik.
Apa kisah menarik "kali pertama' anda?
No comments:
Post a Comment