Petang nanti saya berjanji untuk bertemu dengan sekumpulan pelajar. Pertemuan yang asalnya adalah pertemuan semula Home Room(HR) 5B/20 telah bertukar menjadi sesi minum petang bersama pelajar dari pelbagai HR.
Dari kiri: Ilham, saya, Iznie, Deena, Aishah, Raihan, Nina dan Iman |
Antara mereka hanya Ilham, Raihan dan Nina sahaja yang merupakan anak HR saya. Walaupun mereka telah menamatkan tingkatan 5 tahun lepas, namun kami tetap mahu mengekalkan hubungan "anak HR dan mak HR". Yang selebihnya Izni, Aishah dan Iman pernah menjadi pelajar saya walupun sekejap. Kami tidak banyak berkongsi kenangan manis. Kata mereka, asal cikgu sains masuk je...terus serius. Jarang-jarang dapat bergurau senda. Kalau ke Jabatan Sains pun, sunyi je...macam takde orang.
Walau tiada kenangan manis, saya tahu Aishah minat melukis kartun Jepun. Saya pernah 'menangkap' Aishah melukis komik semasa di tingkatan 2. Lukisannya cantik. Semenjak itu, saya sangat berharap Aishah dapat meneruskan impiannya. Nina dan Izni selalu lelap dalam kelas Biologi saya semasa tingkatan 4. Biologi bukan subjek kegemaran mereka. Saya juga pernah melihat Nina tolong buatkan kerja sekolah untuk seorang kawannya. Deena? kadang-kadang saya takut bertentang mata dengannya. Sangat fokus, sehingga saya risau saya tersalah 'explain' semasa mengajar.
Mendengar bahawa dalam tempoh setahun, begitu banyak yang mereka belajar. Mengetahui bahawa dalam setahun, banyak yang mereka lalui. Memahami bahawa dalam setahun tanpa peraturan sekolah, mereka tetap dapat membawa diri dengan baik dalam komuniti mereka.
Petang yang ceria dan menyegarkan. Mereka bukan sekadar pelajar, tetapi telah menjadi sahabat.
Dan saya sangat yakin mengakui, inilah kepuasan menjadi seorang pendidik. Semoga semua pelajar dan bekas pelajar saya dipermudahkan kehidupan mereka.