MAJLIS APPRESIASI HOMEROOM

1 NOVEMBER 2019
8.00 pagi-10.30 pagi

Majlis Appresiasi Homeroom, suatu majlis penyampaian penghargaan kepada homeroom-homeroom yang menunjukkan komitmen, prestasi akademik, sahsiah (merit/demerit) dan berbagai anugerah lain.
Saya menggemari perkataan PENGHARGAAN berbanding APPRESIASI yang berasal dari perkataan Inggeris yang dimelayukan. Saya tidak faham kenapa perkataan Inggeris selalu nampak lebih bagus walaupun ia membawa maksud yang serupa.

Di MRSM, semua pelajar akan dibahagikan kepada kumpulan -kumpulan kecil seramai lebih kurang 12 orang dan ditempatkan dalam satu homeroom (HR). Episod HR bermula sejak tingkatan 1 hinggalah tingkatan 5 di bawah penjagaan dan pemerhatian seorang guru penasihat. Pendek kata, pelajar boleh lah merujuk kepada guru penasihat untuk mendapatkan nasihat dan berkongsi masalah sekiranya ada.

Di majlis ini, lebih ramai pelajar berpeluang untuk memenangi anugerah kerana mereka akan bersama dalam satu kumpulan. Markah merit dan segala pencapaian dikira sebagai pencapaian kumpulan. Saya kongsikan momen-momen menarik sepanjang majlis.

Ini Ustazah Hafizah, Penyelaras Unit Pembangunan HR. Siap ber 'crown' bagai. "Anak HR buat sendiri", katanya. Berdebar menantikan mentari bersinar pada pagi tersebut. Maklumlah musim tengkujuh.

Ini HR saya, 5B. 2 tahun kami memegang rekod merit terbaik. Rahsia : rajin update rekod penglibatan dan penyertaan. Jangan tinggal subuh berjemaah(kalau boleh)

Yang ini HR teacher Mona. Yang pakai 'crown' tu lah teacher Mona. Memang tak dapat nak cabar la. Saya tak mampu nak buat apa yang beliau buat untuk anak-anak HR beliau. Dan rasanya saya takkan sampai 'level' beliau. 3 kategori mereka sapu bersih. Penasihat HR terbaik tingkatan 3. 
HR mengikut tema, tingkatan 3. 
HR terbaik keseluruhan.


Inilah teacher Mona...macam Permaisuri Agong pakaiannya kan? Siap crown lagi..


Yang ala-ala graduan Hogwart ni, HR cikgu Meor. Cg Meor pun dah macam Albus Dumbledore. Mereka pun menang HR mengikut tema. Bersusah payah menyewa jubah. Tapi ada permuafakatan di situ. Tahniah!


Ini HR 5B - semasa lintas langsung. Tema shades of blue saja. Simple and layback.


HR 5B lagi. Wefie sebelum majlis bermula. Sebelum dibasahi peluh. Maklumlah majlis kali ni diraikan secara 'outdoor'. Missing in action: Pipah dengan Suu. Belum habis belit selendang kot.

Majlis tahun ini menyaksikan ramai guru-guru yang lebih 'sporting' melayan kehendak anak-anak HR dengan mengenakan pakaian sedondon mengikut tema HR. Tahniah untuk semua.

'Cool' kan? Cikgu Amir ni. Orang lama tapi 'sporting' teruk nihhh. HR dia pun dress up macam ni.








SPM DI MRSM 2019: HARI PERTAMA

5 November 2019

Sejak malam tadi, meriah dekat kumpulan tepi tingkap mommies KGP , menzahirkan kerisauan dan menyuarakan betapa 'nervous' mak-mak bila mana anak-anak akan memulakan perjuangan dalam kehidupan mereka hari ini. Saya dapat panggilan dari Addina, cemas bunyinya....seketika kemudian dapatlah maknya memberi sedikit tip untuk menenangkan diri.

Pagi saya bermula awal dari biasa hari ini. Bukan sebab SPM sangat, tetapi kerana saya bertugas untuk perhimpunan pagi. Selepas selesai masak sarapan pagi, sempat lagi saya menitipkan peringatan akhir untuk anak-anak HR dan Addina juga (walaupun tak ada blue tick dalam telefonnya😟😟). Selesai tugasan di tapak perhimpunan, saya bergerak ke surau.

Terjumpa dengan Suu, "takut la cikgu...saya rasa macam nak menangis.."
 Saya peluk dia, saya cakap.."pergi nangis dulu..
Dahhh! dia ketawa pulak...

Kemudian terserempak pula dengan Jasmine, dan ibu bapanya. Dia bangun dan bersalam dengan saya. Saya peluk dan ucapkan selamat berjaya. Sempat juga ibunya mengucapkan terima kasih pada saya.  Budak-budak ni, anak-anak yang baik. Semoga Allah permudahkan urusan mereka hari ni. Kemudian , Alif Aiman dan Naqib melintas, saya pesan apa-apa yang patut. Saya percepatkan langkah.

Dalam 7.35pagi, pelajar mendengar amanat akhir Tuan Pengetua dan SU peperiksaan SPM, Cg. Sha.

                                                     
 Dan selepas itu, Ilham memimpin bacaan doa sebelum pelajar masuk ke dewan peperiksaan. Ilham adalah salah seorang Badan Wakil Pelajar. Presiden BADAR ( Badan dakwah dan Kerohanian). Saya melihat tangan Ilham menggeletar memegang kertas doanya. Setakat memimpin bacaan doa bukanlah pelik bagi Ilham. Tetapi hari ini, perkara yang amat biasa dilakukan pun menjadi sesuatu yang asing. Saya tidak pernah mengenali dengan dekat ibu bapa Ilham, ini kerana dia memegang rekod bersih dalam akademik dan sahsiah. Jadi tiada keperluan untuk ibu bapanya datang berjumpa guru. Namun, siapa pun mereka..saya pasti mereka bangga jika melihat Ilham hari ini.

Di celah ibu bapa yang hadir memberi sokongan untuk anak-anak, saya terjumpa Puan Suriyani, ibu kepada Pipah. Encik Khairul, ayah kepada Keyrol. Dan mungkin ada lagi yang saya tidak perasan kerana saya bergegas untuk menghantar Amani ke rumah pengasuh.

Beruntung pelajar sekarang, ibu bapa yang tinggal berdekatan dapat ,meluangkan masa untuk memberi sokongan kepada anak-anak. Hebat ibu bapa sekarang. Ibu bapa kita dulu juga hebat, cuma mungkin kesukaran hidup menyebabkan mereka tidak dapat memberikan sokongan seperti sekarang. Yang pasti doa mereka tetap berterusan.

GRADUASI KOLEJ GENIUS@PINTAR, UKM

24 November 2019

Kami sekeluarga menghadiri graduasi Addina di Kolej Genius@PERMATA(KGP), UKM... walaupun lima tahun lepas, kami mendaftarkannya di Kolej Permata Pintar, UKM. Nama kolej bertukar setelah pemimpin negara bertukar.

Di KGP, pelajar dianugerahkan dengan High School Diploma (HSD) selepas menamatkan tahap 2 (tingkatan 4 dan 5). Pelajar boleh menggunakan HSD untuk memohon melanjutkan pengajian ke luar negara seperti AS dan AUSTRALIA dengan syarat mereka melepasi ujian SAT atau yang seumpamanya. Boleh rujuk maklumat pengajian di sini.


Bouquet yang dalam bakul tu, untuk graduan.
Carnation tu untuk mama, katanya.

Graduan kami, "semua kena datang sebab Dina dapat anugerah Pengarah.."

Menunggu majlis bermula dalam auditorium KGP

Pentas serba ringkas dan sangat formal.

"Merasai pengalaman berjaya".

Antara yang menarik semasa ucaptama Perasmi majlis, Dato' Kamel Mohamad, TKSU Perancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi adalah:

-your future is not been written yet-
-the world is to be explore-
-it doesn't matter where you start, it's the end that is important-
-good is not enough, better is expected,best is possible-
-attitude is important-
-able to contribute-
-antara kaya, berjaya whatsoever..hemah paling utama-

Majlis penyampaian anugerah diselangseli dengan persembahan kugiran kolej. Walaupun kebiasaan majlis graduasi adalah suatu majlis yang 'solemn', tetapi di KGP, jemputan bagai ditarik tarik tangan mereka untuk bertepuk semasa kugiran kolej memainkan lagu 'rasa sayang eh' secara instrumental. Sungguh 'catchy'. 

Majlis diakhiri dengan ucapan oleh Pelajar Terbaik Keseluruhan, Saudara Faiz Rahmani sebagai wakil pelajar. Hebat pelajar ini. Saya tersentuh mendengar ucapannya. Tahniah untuk semua pelajar.

selamat berjaya SPM 2019

GRADUASI 2019 - MRSM Kuantan



19 Oktober - Graduasi MRSM Kuantan

Majlis kemuncak setiap tahun. Paling dinanti-nantikan oleh pelajar tingkatan 5. Kebetulan HR saya tingkatan 5 tahun ini, sejak tahun lepas mereka kecoh tentang graduasi, bimbang kalau-kalau mereka tidak dapat bergraduasi. Apalah yang penting sangat dengan graduasi tingkatan 5 ni? TIDAK penting pun. Sekadar menerima sijil graduasi sahaja, malah sijil tersebut langsung tidak bernilai. Kata pelajar, "penting cikgu, malu lah kalau tidak graduasi.."

Reti malu juga budak-budak ni....yang mereka rela diri gagal dalam subjek-subjek kritikal macam matematik tambahan tu, tak sengaja agaknya...😅

Bagi pelajar-pelajar MRSM, ada syarat-syarat untuk bergraduasi. Antaranya, tpng mestilah melepasi 2.0. Memenuhi nilai jam kredit subjek yang ditetapkan atau dalam bahasa mudah, tidak gagal subjek yang sama 3 semester berturut-turut. Malah, semasa graduasi pelajar dikelaskan pula pencapaian mengikut tpng mereka untuk menentukan kelas 1(3.50-4.00)..kelas 2 tertinggi(3.00-3.49), kelas 2 bawah(2.50-2.99) dan kelas 3(2.00-2.49). Kejam! Alahai.. "down" juga la kalau graduasi kelas 3.

 No worries...tiada apa yang berubah kerana pelajar tetap akan menduduki peperiksaan SPM pada November. Keputusan SPM juga yang akan bernilai pada akhirnya.

Sekitar Majlis Graduasi MRSM Kuantan 2019- pentas dihias oleh team Cg. Bahri

Perarakan masuk ahli senat

Bersama Jasmine - salah seorang anak HR 

Dengan Nina dan Suu - yang menerima anugerah kepimpinan dan kokurikulum di samping sijil graduasi mereka.

Pipah, saya , Suu dan Nina

Keseronokan memakai jubah, mengenakan mortar dan menerima skrol memberikan pengalaman "mengecapi kejayaan" kepada para pelajar. Inilah rasanya bila berjaya menamatkan pengajian selepas bertahun-tahun berjuang dan bergelumang dengan buku dan kertas. Dalam tempoh tersebut, ada kalanya mereka cemerlang, ada ketika mereka gagal, ada masa-masanya mereka melakukan kesilapan dan ada masa mereka kena kecam(kata mereka). 

Namun itulah liku-liku kehidupan sebagai pelajar. Itulah warna-warni kanvas seorang remaja, yang akan mereka kenang selepas meninggalkan bangku persekolahan. Memori yang mereka akan kongsi di insta story mereka. Memori yang akan di re-tweet pada tahun-tahun akan datang.

Selamat menempuh peperiksaan SPM









DARI DIPLOMA KE KELAS PERTAMA part 2

 Berbekalkan keputusan SPM 7A, peluang untuk mendapat biasiswa penuh untuk peringkat seterusnya, bukan sahaja tipis, tetapi langsung tiada h...