DARI DIPLOMA KE KELAS PERTAMA part 2

 Berbekalkan keputusan SPM 7A, peluang untuk mendapat biasiswa penuh untuk peringkat seterusnya, bukan sahaja tipis, tetapi langsung tiada harapan. Biasiswa penuh adalah bayaran yuran pengajian dan elaun sara hidup pelajar.

Biasiswa penuh di Malaysia hanya diberikan kepada pelajar yang mendapat 9A SPM. Bakinyanya pelajar 8A atau 7A akan mungkin menerima pinjaman boleh ubah(pinjaman yang ditukar kepada biasiswa berdasarkan keputusan peperiksaan akhir pelajar)

Kenapa kami target biasiswa penuh? 

Pertama: mestilah sebab kos pengajian akan menjadi PERCUMA. 

Kedua: TIADA tanggungan hutang selepas belajar.

Ketiga: PELUANG menimba pengalaman bekerja dengan pihak penaja.

Keempat: sebagai REWARD untuk kerja keras anak. Biar mereka tahu, mereka ada potensi untuk menerima biasiswa walaupun TIDAK mendapat straight A dalam SPM.. 

Kami tidak memohon upu kerana laluan UPU perlu melalui asasi dan pemilihan kursus yang belum pasti. Itu rasional kami. 

Jadi, secara automatik kami terlepas permohonan diploma Sains Komputer Uitm. Antara uni termurah untuk peringkat diploma. Kami rasa kami mampu membayar kursus ini secara persendirian kerana yurannya murah berbanding uni lain.

Kami termenung sekejap.

Laluan lain adalah diploma selama dua tahun setengah di uni swasta, kemudian sambung Ijazah pertama pula tiga tahun setengah... menjadikan total ENAM tahun tempoh pengajian. Ya Allah, lamanyaaaa.

Pembiayaan untuk diploma di uni swasta adalah 30k lebih. Untuk yuran pengajian setiap semester, kami rasa kami mampu kerana ada simpanan. Cuma untuk sara hidup harian anak: sewa asrama..makan minum..transport..agak merisaukan. Makan minum di luar bukan murah. Apatah lagi, jika uni tersebut terletak di bandar besar.

Setelah berbincang, menilik semua sudut, anak setuju bermula dengan diploma. Oleh kerana percaya dengan potensi anak, kami memilih diploma di MMU. Yurannya lebih sedikit daripada yuran foundation UTM tadi. Masih mahal tetapi berbaloi kerana ini yuran diploma bukan foundation.

Sebagai staf MARA, saya memohon pinjaman pelajaran untuk peringkat diploma. Ini adalah keistimewaan untuk staf. Pinjaman boleh ubah.

Jumlah pinjaman adalah lebih kurang 30k. Peringkat diploma, universiti swasta. 

Berbekalkan 7A, saya pesan pada anak: 

I am sure you can do excellent in diploma..target grad cgpa 3.75 (untuk selesa memohon pembiayaan penuh peringkat ijazah). Dan juga untuk pengecualian pembayaran penuh pinjaman.

The rest...Alhamdulillah, dua tahun setengah berlalu dengan pantas. 


Lulus dengan cemerlang peringkat diploma. Diploma Sains Komputer. Cgpa 3.92. 

Pinjaman boleh ubah MARA cuma perlu bayar 15% sahaja, rm 5k sahaja daripada 30k.

Setelah menghadiri sesi interview beberapa lapis dengan beberapa penaja, YTM sudi menaja untuk ijazah pertama. Jadi, dengan senang hati, menerima biasiswa penuh Yayasan TM.

Dapat transfer kredit diploma ke ijazah(skip tahun 1 ijazah, terus masuk ke tahun 2).


Alhamdulillah anak grad sama dengan kawan-kawannya yang masuk melalui foundation.L

 Lulus kelas PERTAMA ijazah kejuruteraan perisian komputer.

Dapat menimba pengalaman dengan TM selama 3 tahun. Bond. Insya-Allah dapat pengalaman bekerja. 

.

.

Banyak lagi laluan murah untuk membolehkan anak belajar di IPT. Mak ayah jangan mengalah, kena banyak bertanya.

Baca part1



DARI DIPLOMA KE KELAS PERTAMA part1

September 2024.

Saya menunggu 5 tahun untuk menulis hantaran ini.

Saya bimbang apa yang saya rencanakan tidak direstui Allah. Ungkapan 'kita hanya merancang, tuhan menentukan', melintas-lintas di fikiran. Terutama sekali, ini adalah hal yang melibatkan masa depan anak-anak.

Anak sulung saya menamatkan tingkatan 5 di sekolah berprestij di Malaysia. SPM 2019 di Kolej Permata Pintar(KPP), Pusat Permata Pintar Negara, UKM. Sekarang dikenali sebagai Kolej Genius Pintar(KGP).

Mungkin ada yang tertanya, ke mana perginya budak- budak permata pintar? Anak saya adalah salah seorang daripada mereka. Ini kisah perjalanan dia dalam akademik.

Saya dan suami tidak banyak mengumpul maklumat tentang KPP ketika itu. Keputusan untuk melanjutkan tingkatan satu ke KPP, dibuat berdasarkan kemahuan anak yang ketika itu sudah dua kali menghadiri summer camp KPP. Kali pertama ketika dia tahun 5 dan kali kedua semasa tahun 6.

Banyak suka duka anak di KPP. Ketika saya merasakan semua ok, ada juga perkara negatif yang berlaku. Dia juga tidak terkecuali daripada gelombang tekanan dan masalah penyesuaian untuk fit into the college community. Namun, alhamdulillah, 5 tahun berakhir.

Dipendekkan cerita,

Tiada laluan melanjutkan pelajaran yang istimewa untuk pelajar KPP. Yang ada: biaya sendiri, mencari penaja atau tempat yang pasti ialah di asasi pintar. Selain itu, laluan ke IPT adalah sama seperti pelajar lain.

Dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan perisian. Jadi, kami tidak memohon matrikulasi dan asasi. Tidak perlu belajar Biologi, fizik dan kimia semula jika hendak belajar bidang komputer. 

Kami mencari uni yang menawarkan kursus kejuruteraan perisian. Pencarian kami bertemu dengan suatu program yang ditawarkan oleh UTM, KL. Foundation setahun dan seterusnya menyambung kursus kejuruteraan perisian selama 4 tahun. Masalahnya, yuran untuk foundation itu terlalu mahal. Membuatkan kami banyak duduk dan berfikir.

Soal belanja, soal hutang pengajian, adalah perkara besar bagi saya. Memang kita akan berhabis untuk pendidikan anak-anak, tetapi biarlah ianya masih di dalam lingkungan kemampuan kita.

.baca part2



TERKINI: PROGRAM IGCSE DI MRSM

Ada beberapa MRSM yang telah dan akan face off program igcse (tiada igcse)

Antaranya mrsm baling, mrsm serting, mrsm tawau dan mrsm batu pahat.

Setakat ni 21 mrsm sahaja yang masih kekal dengan program igcse.

Ramai ibu bapa menganggap, igcse adalah laluan pantas ke luar negara. Sebenarnya TIDAK.

Sehingga kini, MARA tidak menjanjikan apa-apa keistimewaan untuk pelajar cemerlang igcse. Sama ada laluan khas biasiswa atau tempat untuk ke universiti luar negara.

Igcse masih merupakan nilai tambah kepada pelajar mrsm. Semua pelajar masih perlu menduduki peperiksaan SPM jika masih mahu terus kekal di mrsm.

Sebagai alternatif, ibu bapa boleh mengeluarkan anak dari mrsm selepas menerima result igcse dan meneruskan pengajian peringkat a level di mana-mana kolej swasta. 

Walau bagaimana pun, UTP dan UIA antara universiti yang menerima sijil igcse sebagai syarat kemasukan asasi dan foundation. Pelajar boleh memohon ke uni ini tanpa menggunakan sijil SPM.

Namun mereka dinasihatkan untuk mengambil subjek teras SPM secara persendirian untuk mendapat sijil spm. Sijil SPM mungkin diperlukan untuk memohon kerja di Malaysia, pada masa akan datang.

Pembelajaran di mrsm igcse masih lagi menggunakan bahasa inggeris untuk subjek sains dan matematik. SEMUA pelajar WAJIB menduduki peperiksaan igcse. Sejumlah yuran wajib dibayar dan nilainya bergantung kepada tukaran matawang asing. (Pound sterling)

Seawal tingkatan 1, pelajar yerus didedahkan dengan subjek biologi, fizik dan kimia.

Bermula tingkatan 3, silibus igcse akan bermula. Pelajar akan menduduki peperiksaan pada tingkatan 4. Dan seterusnya menduduki SPM semasa tingkatan 5.

Releven atau tidak ambil igcse?

Bergantung kepada individu.

Jika berhajat untuk menggunakan sijil ig dan menyambung pelajaran dengan biaya kendiri, igcse adalah yang terbaik.

Jimat masa. Umur 17 sudah boleh mendaftar untuk foundation.


PROGRAM YANG DITAWARKAN

#mrsm


PELAJAR dan INSPIRASI

Saya sangat berharap, ada pelajar yang mendapat inspirasi dari cerita dan perkongsian saya di dalam kelas.

In return, saya juga mendapat inspirasi daripada pelajar.

Sepanjang perkhidmatan, 

Ada 3 pelajar yang kekal mengispirasikan saya  sehingga kini.


Pertama๐Ÿ‘‡

Asyrique.

Setiap kali lepas discussion  ulangkaji SPM, dia datang dan bagitahu,

"Teacher, the answer is not justified"

Dia ni banyak sungguh knowlegde. Melangkaui keperluan skema jawapan SPM.

Knowledge dia level budak final year uni.

Boleh berdebat tentang apa yg dia tahu, dengan baik sekali.

Since then,

Saya lipat gandakan bahan bacaan, tontonan dan apa-apa sumber yang boleh meningkatkan pengetahuan saya.


Kedua, Afiq.

ketika pelajar lain mengeluh kerana banyak homework,

dia datang beritahu:

"Teacher bagi je homework tu..pandailah kami cari masa buat nanti."

Sikap dia tu, saya kagum. Sejenis yang 'bring it on, i can handle this."


Since then,  

saya belajar untuk tidak mengeluh. 

Mencuba tanpa mengalah.


Pelajar ketiga, Nurin.

Pendiam budaknya, top 3 dalam batch dia. 


Kadang saya naik segan dengan dia. Masa saya round tengok pelajar buat kerja, saya tengok kerja dia, nota dia..

Unbelieveable. Beyond my expectation.

Tapi dia diam. Dengar dengan tekun butir bicara saya, walaupun dia dah tahu semua.

Since then,

Saya belajar yang menjadi bijak harus banyak mendengar. Sentiasa merendah diri walaupun kita tahu serba serbi.


#cganismenulis

TEACHER'S PET

 Afiq tiada di kelas.masih mc.

Terus rasa letih.


Aku memang bercinta sikit masuk kelas f3 ni. Kena pulak subjek ig. Berat aku nampak batu atas bahu pelajar.

Punya berat, sehingga Ada yg  tertidur.


Kalau ada afiq, mulut tak berbunyi tapi jawapan dia..sama level dengan pelajar f5. Segar kita yang dok round kelas ni. 


Dalam diam, ada pelajar yang absorb semua benda yang kita sebut.

.

.

Aku tarik nafas  ,

Jadi ginilah. Tcr nak tanya, berapa max  you pay to the college every month?


100 teacher.

Dobi rm 11

Ni yang semua wajib. 111.


Ok jom buat simple math.

110 sebulan .

Sebulan , ambil 25 hari je awak di asrama.sehari berapa belanja.


Ada yg capai classwiz untuk kira.


4.40 tcr.


Itu untuk sehari kehidupan di sini.


Kalau saya beri rm 5 kat awak..pergi keluar dari pagi sampai malam.apa awak boleh buat dgn rm5?


Krik..krik..

Terkelip kelip mata sorang sorang.


Awak akan jadi gelandangan!



Awak duduk sini, ditaja oleh duit rakyat malaysia..duit pembayar cukai..ada antara mereka, tak ada pun anak di  sini.


Jangan relax. Bersungguh sikit belajar tu. Ingat sikit, awak duduk selesa di sini atas ihsan orang je.




REMAJA: PILIH ATAU PAKSA?

June 2024

Dalam dua minggu lepas dia buat keputusan besar dalam hidup. 

Tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. 

Nak pakai braces. 

Gambar sejurus sebelum ke klinik untuk pasang braces


Aku cakap, tak pakai pun ok saja. Gigi arnab sedia ada tu comel je. Kena tahan sakit kalau nak pakai. At least 2 tahun

Hari ni, dia balik sekolah dengan keputusan yang bijak aku rasa. Juga tanpa dipengaruhi  sesiapa. 

"I need to be more productive. I join choral speaking."

.

Untuk anak orang lain, setakat masuk choral speaking, apalah sangat?

Paling koman, kanggaroo math. Olimpiad math. Science innovation fair. Dan segala yang hebat-hebat. Nama program pun macam program untuk profesor.

Untuk anak aku, masuk program kecil-kecil pun dah langkah yang besar.

Walaupun aku selalu galakkan mereka masuk macam-macam pertandingan. Mereka tak pernah masuk pun.

Kadang tu, sebagai parent serba salah dibuatnya. Tak dipaksa, tak menjadi. 

Makin lama, aku fikir biarlah mereka yang putuskan. Nak atau tidak. Aku rasa belajar membuat pilihan dan keputusan juga adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan. 

Yang penting, mereka bertanggungjawab ke atas keputusan dan pilihan mereka. 

#cganismenulis 



ULANG TAHUN KE 22

 31 Mei 2024.

Pertama kali aku belajar,

Jadi ibu kena rajin masak. Dia ni makan kerap. Memang sejak baby, kerjanya minta makan. Badan kecik je. Habis makan, siap order untuk makan 'nanti' pulak.

Ketika aku persoal,
"kenapa kakak dapat nombor enam? Bukan nombor satu, dua atau tiga?"

Katanya,
"kawan kakak dapat nombor 36, nombor last. Dia datang sekolah happy jer."

Dan aku mengerti, yang anak kecil hanya dambakan happy di hati.

"kakak, tolong ajarkan abgcik tulisan jawi. Teruk sangat tulisan dia."

Katanya,
"dia boleh je tulis, cuma tak cantik. Mama tak perlu risau. Cuma suruh je dia tulis dengan cantik."

Begitulah dia menyentuh.

Selepas berbelas tahun aku menjadi pendidik, dia masih kekal memberi ilham untuk aku  membaiki diri.
.
.
Pantas sangat masa berlalu.

Belajar di asrama penuh, lima tahun. Kalau ada pembaca yang mengikuti blog aku dari awal, pasti tahu yang anak aku ni belajar di KOLEJ PERMATA PINTAR (sekarang KOLEJ PINTAR GENIUS). Tahun 2015-2019.

Kemudian sambung uni, lima tahun. (MMU) 

Sekarang dah semester akhir pengajian ijazah pertama kejuruteraan perisian.

Seingat aku, dia gadis yang ada visi dan misi. Entah macam mana dia boleh set visi dan misi untuk jadi ketua pengawas ketika baru di tahun empat sekolah rendah. Dan kegigihan itu membuahkan hasil dua tahun kemudian.

Dengan kegigihan itu, aku doakan dia dapat mengekalkan cgpa dan menyenangkan hati penaja.
Semoga dapat terus menimba pengalaman kerja dengan penaja.
.
.
Doakan anak sulung saya dipertemukan,

Sahabat yang baik-baik,
Guru yang baik-baik,
Dan
Jodoh yang baik-baik

Selamat ulangtahun ke 22. 

Addina Amiruddin


31 mei 2024

Boss muka lapar

*Nota ulang tahun ketika Amani menerima rawatan dentist.

KEPUTUSAN SPM 2023

 A untuk BM

Memang BM ni bahasa ibunda. Tapi nak menguasainya dengan baik, maksudnya menyusun isi, menulis karangan, membuat ulasan dan ringkasan dengan menggunakan laras bahasa yang betul dan idea asli bukanlah mudah.


Jika anak dapat A untuk BM dikira sangat baik. Ada pelajar nak bina ayat pun tak lepas, apatah lagi nak keluarkan idea yang asli.


A untuk BI

Aku kira selain budak-budak ni menguasai kemahiran sama macam di atas, mereka ada bakat dalam mempelajari bahasa asing. Macam ada satu suis kat otak yang boleh tukar sarikata. Agaknya lah. Mereka ni faham bahasa asing, dapat menulis, malah bertutur dengan baik. Dan semestinya mereka tetap diiktiraf hebat.


Ada pelajar nak guna Bahasa Inggeris pun, ketakutan! 


A untuk PAI

Sebenarnya ini perkara asas. Tapi PAI pun susah sekarang sebab ada hafazan dan tilawah. Aku paling bimbang subjek ni. Memang la pelajar muslim ada asas, tetapi meluas jugak isi kandungannya. Faraid. Haji. Zakat. Ada juga soalan kena beri pendapat. Jenuh nak mengingat. Kalau dapat A, pelajar ni, Alhamdulillah ada asas agama yang mudah-mudah. Pelajar ni rajin membaca dan ulangkaji. 


A untuk Sejarah

Aku respek pelajar dapat A sejarah. Aku drop sejarah masa SPM. Subjek sejarah sekarang kena banyak pemahaman peristiwa. Bukan sekadar hafal tahun dan namakan peristiwa. Tidak!


Pelajar perlu memahami setiap peristiwa yang berlaku, setiap dasar yang digubal, apa signifikannya dan seterusnya memberi pendapat.


Macam nak exam jadi pegawai PTD dah aku tengok soalan sejarah. 


A Matematik. 

Zaman aku dulu, siapa tak dapat A matematik ni, memang kami cop tak pandai! Maaf ya.. Zaman duluuu.


Matematik sekarang lain sangat. Kadang aku rasa macam tak relevan pun dengan pelajar. Kira insuran, ansuran, cari penyelesaian masalah-problem based. Masalah tu pulak, dah macam cerpen. Kesukaran dia lain macam sikit. Kena faham 'cerpen' tu dulu, barulah nak kena mengira. 


So, dapat A Matematik sangat hebat.


A Untuk subjek - subjek elektif : Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.


Yang ni susah sikit nak sembang. Random sangat.


Pelajar yang dapat A subjek - subjek ni, mereka jenis yang:


    1. Motivasi dalaman yang tinggi. Datangla subjek rimau gajah pun, mereka akan buat dengan bersungguh. Kalau jenis lek lek je.. Memang tak dapat.


    2. Minat yang sangat mendalam. Memang fokus study subjek tersebut. Sanggup jumpa cikgu subjek tersebut sehingga puas hati.


    3. Memang jenis genius. Cepat faham. Cepat pick up. Boleh nampak kaitan satu sub topik dengan topik lain. Pendek kata, terang hati. Asas sains yang mantap. Dalam kelas, siap boleh betulkan kesilapan cikgu.


Kalau zaman  Ts Dr Suzairi Daud (Penyarah UTM sekarang) dulu, aku tak marah pun kalau pelajar tak dapat A untuk Biologi. (Dia selalu dapat C je๐Ÿ˜†). Tapi Fizik dia selalu A. ๐Ÿ‘๐Ÿป


Yang penting ada A untuk mana subjek matematik tambahan/fizik/kimia/biologi.


At least, pelajar tahu,

mereka good at something.

Bukan good at nothing. 


Tak gitu makmak, cikgu-cikgu?

.

Makmak tengok la kat mana kekuatan anak. Tengok kat subjek mana mereka dapat result bagus. 

Takpelah tak dapat A berderet pun. 

.

**Keputusan SPM dari sudut pandang seorang mak yang selalu intai kertas soalan dan skrip jawapan anak


#cikguanismenulis

#pascaspm

#spm2023

SENDU SANGAT CIKGU!

16 mei 2024 Hari Guru



Ada cikgu.. 

Dia rasa, Hari Guru perlu ada sambutan.


Sebab tu, orang kata cikgu syok sendiri.


Sebenarnya, dengan sambutan tu, pelajar diajar suatu nilai

-menghargai orang yang berjasa kepada mereka-

Cikgu!


Oleh kerana pelajar dikawal guru dan tertakluk kepada peraturan sekolah, maka gurulah yang kena rancang sageutan bagi pihak pelajar. Bukan sebab cikgu suka sangat nak merai diri sendiri. 


Tangguh kelas, order makanan, siapkan dewan, buat persembahan. Bukan senang. Perancangan pdp kena tangguh. 


Kalau cikgu tak bantu buat, memang tak ada sambutan. 


Sebenarnya aku percaya, cikgu buat sambutan pun, bagi pihak pelajar dan sekolah. Kira untuk semua la. 


Aku?

Jujurnya aku tak suka sambutan. Kalau bertema-tema, akulah yang paling tak 'in'. 

Tapi aku suka ja tengok rakan cikgu yang lain bergaya ikut tema. Tidak pernah membantah. 


Cuma, jangan paksa aku!


Pelajar? of course la suka tengok cikgu dia lain dari penampilan biasa. 


Anugerah guru? 

Inipun cikgu buat bagi pihak pelajar. Pelajar mana reti nak buat sendiri? Takde masa wei. Homework depa pun tak siap-siap!


Dari sini pelajar belajar daripada cikgu. Macamana nak pilih, macamana nak buat undian. Undian pelajar yang buat. Pelajar yang pilih: cikgu mana menang untuk kategori mana. 


Ye lah, kalau dah ada majlis, takkan nak suruh cikgu nyanyi je. Isilah anugerah sikit.


Aku? 

Serius, aku tak pernah dapat apa-apa anugerah Hari Guru sepanjang servis. Terutama anugerah yang melibatkan genetik- Anugerah Cikgu Cantik! 


Ramai je cikgu macam aku ni. 


Sendu kan? 

Aku okey je. Still tepuk tangan untuk cikgu yang menang. 


Sikit pun tak jeles!


Sebabnya macam ni. 

1. Nilai diri kita, ditentukan oleh kita sendiri. Amalan, jati diri, integriti, keikhlasan. 

2. Baik kita berhenti mempersoalkan tentang pengiktirafan, kerana ketika kita mula mempersoalkan, kita sebenarnya berhenti memajukan diri. 

3. Menjadi yang terbaik itu bukanlah untuk impress sesiapa.


SELAMAT HARI GURU untuk semua rakan maya.


"Cikgu mesti mithali bukan sekadar murabbi." 

#catatanhariguru2024

#selamathariguru

#kamigurumalaysia

#cikguanismenulis

CIKGU BUKAN TUTOR PERIBADI: SPM 2023 KERTAS BIOLOGI 29 FEBRUARI

 26 Februari 2024

Hari ini, pelajar tingkatan lima akan menduduki kertas kimia. 

Dua hari lagi kertas biologi. Bermakna kami, guru biologi mempunyai masa dua hari untuk melatih pelajar menghadapi peperiksaan. 

Petang ini, kami biarkan pelajar free. Bagi aku, biarlah mereka bertenang sekejap selepas kertas kimia.

Untuk malam, kami telah sediakan latihan sebagai warm up. Aku rasa mereka perlu masa juga mencari buku-buku bio yang telah lama ditinggalkan. Maklumlah, kertas bio ni, last paper.

Aku tinggalkan tugasan tersebut kepada pelajar. Aku pesan kepada wakil pelajar,

"esok, kita jumpa di pusat sumber jam 8.30 pagi."


27 Februari 2023

Aku dan team cikgu bio datang ke pusat sumber dan mengendalikan kelas ulangkaji seperti yang dirancang. Jam 1, kami bersurai. 

Jika diikutkan perancangan, petang ini kami biarkan pelajar belajar sendiri. Malam, kami akan datang lagi.

Dalam perjalanan balik tengah hari tu, aku menerima pesanan ringkas daripada penyelaras Program Ulang kaji SPM. 

"Kak, cikgu bio tak buat kelas revision ke?"

"Eh, kami baru habis ni! Mula pagi tadi. Malam tadi memang tak buat." 

"Ada parents bunyi, katanya cikgu bio tak buat kelas."

"Cakap kat depa, cikgu Bio semua bercuti. hahaha.. " jawab aku dengan nada bergurau.

Malamnya, ketika mengadakan kelas, kami diasak lagi oleh admin yang bertanya sama ada kami buat kelas atau tidak.

Sungguh aku kecil hati dengan parents dan admin. 

Ketika keluar rumah tadi untuk ke sekolah, Ikmal di depan komputer bersedia untuk kelas bio online yang dia cari sendiri. Belajar sendiri. 

Aku, ibunya, seorang guru bio tidak dapat membantu kerana tugasan untuk mendidik anak-anak parents yang tidak menghargai pengorbanan kami,guru. 

Sebak aku mengingatkannya.

Teringatkan pesanan ringkas kawan aku siang tadi, aku kecil hati.

Sungguh!

Parents yang meletakkan anak di sekolah berasrama penuh ni, menganggap kami guru sebagai orang suruhan mereka, tutor anak mereka. 

Perlu sentiasa ada untuk membantu anak mereka. 

Jika diikutkan, kelas malam bukan lagi tanggungjawab kami. Cuma atas ihsan kami untuk membantu pelajar, maka kami datang mengajar. Walaupun di luar waktu kerja. 

Kita jadi parents ni, janganlah melampau sangat. 

Cikgu tak ada, kita bising. Cikgu tak buat kelas ekstra, kita komplen. 

Habis, apa yang anak-anak kita belajar? Jika semua butang remote kita control. 

Aku selalu pesan dengan anak aku yang bersekolah harian, 

"Kalau cikgu tak masuk kelas, belajar sendiri dengan kawan. Siapkan kerja yang cikgu beri." 

"Yang nak exam, kamu.. Bukan cikgu. Masa exam pun, bukan cikgu ada kat sebelah.." 


Tak pernah aku kecil hati macam ni. 

Tahun ke-26 perkhidmatan. 

#cikguanismenulis 

#spm2023

#mrsm




MEMBAZIR DI BUFFET RAMADAN

 27 Mac 2024 

Membazir makan Buffet Ramadan! 


Hari ni, kami berbuka bersama. Buffet di sebuah restoran di Kota SAS. Harga rm 70/pax. 


Sekian lama aku tak berbuka di luar, kali ni aku join. Meraikan rakan sekerja yang berusaha. Terima kasih Dinah Adelina Razali Che Hasif Che Mat 


Menu kambing. Kambing bakar, sup kambing, gulai kambing. Nasi dengan berbagai lauk. Air refreshing berbalang-balang. Teh tarik pun ada. Sedap. Kuih muih melayu macam pulut sekaya dan kuih kasui pun lazat. Rasa asli. 


Hidangan sampingan pun banyak. Di pendekkan cerita, kalau makan semua berbaloilah rm70. 


Tapi, inikan berbuka!

Banyak mana sangat lah boleh makan?


Congak punya congak, kami rasa makan yang kami makan hanya separuh nilai yang dibayar. Rm 35 lebih kurang.


Membazir?

Aku rasa, tak! 


Aku cakap, 

"baki nilai yang kita bayar setelah ditolak harga makanan adalah harga silaturahim."


Waktu kerja tak sempat nak bersua muka. Apatah lagi berborak santai dengan rakan sekerja.


Untuk aku, baki rm35 lagi tu selain harga silaturahim, ia juga upah aku off dari kerja-kerja memasak hari ni.


Berbuka puasa bersama sebahagian rakan setugas. 



Alhamdulillah.

#cikguanismenulis 

TRAVEL MENGAJAR KAMI: TRIP TAIWAN

MAC 2024

Dalam kesibukan mengadakan kelas - kelas pecutan akhir SPM 2023, aku mencongak baki hari cuti akhir penggal 2023.

Kertas terakhir pelajar Sains Tulin, kertas Biologi pada 29 Februari. 11 Mac sekolah dibuka semula. Macam tiada harapan hendak bercuti jauh-jauh. 

Anak aku, Ikmal pun menduduki SPM tahun ni. 

Sambil menunggu pelajar menyiapkan latihan, aku google tiket penerbangan. Hajatnya hendak ke Taiwan. Sakura hunting!

Menikmati cherry blossom di Pekan Tai'an, Daerah Taichung. 


Aku dan Neeza(travel buddy aku) pernah merancang untuk ke Taiwan, Mac 2019.

Kami nyaris membeli tiket tetapi mengambil iktibar daripada wabak SARS yang pernah tersebar, kami menahan diri. Selang beberapa hari setelah kami membuat keputusan untuk tidak membeli tiket, dunia mengisytiharkan COVID-19.

Kali ini, aku plan nak bawak famili. 

Nak dijadikan rezeki, ada tiket dengan harga yang sesuai dengan bajet. Walaupun tarikh balik ke Malaysia ialah 10 Mac, sehari sebelum sekolah dibuka. 

Aku fikir, ini masa terbaik untuk aku memberi pengalaman kepada anak-anak. Bulan  Mac, musim bunga sakura! 

Anak-anak aku dah remaja semuanya. 22,18 dan 14 tahun. Ada masa-masa ketika kami travel bersama, terasa  ketegangan. Awkward. Maklumlah, kami travel sendiri tanpa agen pelancongan. 

Anak gen z, mak bapak gen y... angin masing-masing berlaga bukan main.

Sehinggakan ada yang terasa hati.

So, aku cakap dengan anak,

Travel ni is not about orang tu macam ni, orang ni macam ni, kita tak tak suka dia.. 

Dia not good enough..

Travel ni is about ourselves.

Macamana kita nak sabar dengan adik beradik? 

Nak sabar dengan mak ayah yang berumur..? 

Tolerate dengan orang lain ..

Terima kelemahan orang, terima kelemahan diri sendiri.. 

This is all about ourselves. 

.

Noodle ni?

Halal beef noodle di Restoran Chang Halal Beef Noodle, Taipei



Menjadi saksi ada orang terasa hati sampai merajuk๐Ÿ˜†๐Ÿ˜†๐Ÿ˜†


#cikguanismenulis


CEMERLANG, MESTI BERANI GAGAL

18 Februari 2024

2..3..hari lepas.. Bertubi-tubi aku diasak oleh parent yang tidak puas hati dengan markah si anak.


Mengalahkan skamer yang menyamar jadi polis. 

Habis dikorek macamana aku kira markah, ambil markah mana..

Well, ada perkara yang menjadi kerahsiaan kami, cikgu-cikgu cabuk ni. Tak boleh semuanya dikongsi. Kami dah sign 'borang pink'-akta rahsia rasmi kerajaan.

Kami perlu berlaku adil kepada pelajar-pelajar lain juga. 

Untuk parent , tidak mengapa jika anak gagal mencapai seperti kebiasaan. 

Biar dia jatuh sesekali. 

Kerana jatuh itu akan mengajarnya bangun dan melompat lebih tinggi. 

Jatuh itu memberi rasa sakit yang serik untuk jatuh lagi. 

Jatuh itu merendahkan ego diri. 

Hari-hari yang kita lalui pun tidak setiap saat indah. 

Pagi panas dan cerah, tiba-tiba hujan di tengah hari. 

Apa yang kita nak komplen sangat? 

#cganismenulis #tahuntahunakhirperkhidmatan

ANAK KELAS DLP KE MANA? SPM 2023 FEB 2024

Tahun ni, Ikmal akan ambil spm. Bersekolah di sekolah kluster yang rata-rata pelajar 'bijak' tidak ramai. Kebanyakan mereka telah berpindah keluar ke mrsm, sbp atau sekolah teknik.

Ini percubaan kami suami isteri. Menghantar anak ke sekolah bukan berasrama penuh. Ketika orang lain berebut-rebut menghantar anak ke sekolah pilihan, kami dengan senang hati memilih sekolah harian kluster. Kebetulan juga ikmal tidak berminat dengan asrama.

Dia memilih untuk berada dalam aliran dlp(dual language programme) sejak tingkatan satu. Bermakna silibus spmnya nanti juga dlp.

Dalam tempoh lima tahun sehingga Ikmal di tingkatan 5, saya melihat dlp semakin cair. Sukar hendak mencari kelas tambahan sains dan matematik yang dikendalikan dalam bahasa inggeris.

Di sekolah pula, akibat kekurangan guru, kelas tambahan pelajar kelas dlp dan bukan dlp, akan dicampur supaya mudah dikendalikan. Cikgu pula akan menggunakan bahasa inggeris campur melayu.

Setiap kali menghadiri pertemuan dengan guru, saya suka minta untuk melihat result kelas sains tulen bukan dlp sebagai perbandingan dengan result ikmal, kelas sains tulen dlp.

Seriously, memang ada jurang. Pelajar di kelas bukan dlp, aliran sains tulen mendapat keputusan yang lebih baik berbanding pelajar dlp aliran yang sama. 

Dan saya merasakan kelas dlp adalah satu kesilapan pilihan.

#parenting.

#perentingtips

#cganismenulis 

DARI DIPLOMA KE KELAS PERTAMA part 2

 Berbekalkan keputusan SPM 7A, peluang untuk mendapat biasiswa penuh untuk peringkat seterusnya, bukan sahaja tipis, tetapi langsung tiada h...