Perjumpaan Homeroom (Hr)
Saya nampak Akif muram dan gelisah. Selepas berborak-borak tentang isu minggu tersebut, pelajar berebut-rebut bercerita tentang Akif yang kehilangan bekas pensel. Akif diam sambil mengangkat muka sesekali. Saya diam, fokus mendengar.
"kesiannya....hal kecik je tu Akif", respon saya dengan nada memujuk.
" tak pelah cikgu, nanti saya bagi tahu mak saya..."
" ehh jangan!" cepat saya melarang.
"Beli semula pen, pensel segala yang perlu. Tak perlu telefon mak awak. Hal kecik ja tu. Tak ada duit, bagitahu, cikgu dahulukan duit cikgu..."
" cikgu, saya ada geometri set lebih. Nanti saya beri Akif pinjam dulu". Celah Ummi. Pelajar yang baru kehilangan bapa bulan Mac lepas.
Alhamdulillah, tidak kedekut budak-budak ni. Bagus sangat tu. Bantu- membantu sesama ahli Hr. Lagipun mereka semua dalam kelas yang sama. Selesai masalah Akif.
Bekas pensel yang biasa-biasa pada kita, tetapi pada pelajar seperti Akif, bekas pensel adalah nadi kepadanya. Ketiadaannya mengganggu kelancaran dan tumpuannya dalam kelas. |
24 SEPTEMBER
Memang kebiasaan kami tiba awal di sekolah. Sambil membetul-betulkan tali lehernya, mata Amani liar memandang keluar kereta.
" aikk, kenapa semua orang pakai baju PJ hari ni?"
" Ujian segak kot", jawab saya acuh tak acuh sebab akhir-akhir ini memang musim Ujian Segak.
" betul la, kita kena balik tukar baju ni, mama.."
Kalau diikutkan hati, malas nak balik ke rumah waktu -waktu macam ni. Tak kan lah Amani nak buat ujian segak dengan pakaian rasmi pengawas lengkap kot dan tali leher?. Saya tidak mahu meletakkan Cikgunya dalam keadaan serba salah nanti. Dan kami kembali semula ke sekolah 7.30. Dah berair mata Amani semasa kereta mendaki bukit kecil depan sekolahnya. Ini kali pertama Amani lambat ke sekolah. Konflik terbesar bagi pelajar yang sangat 'obedient' dalam tempoh persekolahan 4 tahun.
'Apa Amani nak cakap kalau cikgu tanya kenapa lambat...?"
"Ceritalah perkara yang sebenar", jawab saya.
Saya meneruskan perjalanan ke sekolah sambil memikirkan bagaimana Ikmal menangani konfliknya hari ini. Katanya malam tadi tidur hampir tiga pagi sebab menyiapkan kerja Geografi. Pasti hari ini beliau tersengguk-sengguk menahan lelap di dalam kelas. Dan sudah pasti menjadi bahan teguran guru-guru.
KONFLIK DI SEKOLAH.
Setiap hari berbagai konflik. Janganlah terlalu menjadi ibu bapa sempurna untuk menyelesaikan konflik anak anda di sekolah. Beri peluang mereka belajar untuk hidup berdikari dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
Asal lepas sekolah sahaja, saya dapati ada ibu yang akan bertanya guru dalam kumpulan WhatsApp kelas tentang kerja sekolah. Pada saya, biarlah anak bertanggungjawab tentang kerja mereka.
Saya teringat suatu hujung minggu, anak Homeroom saya (di asrama) demam. Bapanya tidak henti-henti menelefon saya, meminta saya berbuat sesuatu walaupun saya beritahu saya berada di luar kawasan.
Saya minta beliau menelefon warden blok. Saya akhirnya mengabaikan sahaja panggilan telefon yang agak berterusan di telefon bimbit saya.
Pendapat saya begini. Anak tinggal di asrama patut dibekalkan ubat-ubatan yang asas. Saya pernah memesan ubat secara atas talian untuk Addina semasa beliau di asrama. Ada pelajar senior yang akan membantu anak kita di asrama. Biasanya senior akan perkenalkan siapa ketua blok, siapa guru asrama blok mereka. Jika anak dalam kesusahan, minta dia jumpa senior atau ketua blok. Ibu bapa boleh menghubungi warden jika bimbang.
Tambahan***saranan seorang sahabat FB Khatijah Umar, sesekali ..bawalah buah tangan untuk rakan anak-anak sebilik atau se dorm anak kita. Ini sebagai tanda terima kasih kita kepada mereka yang mungkin menjaga anak kita ketika sakit demam.
Beri peluang anak belajar menyelesaikan konflik. Biar mereka belajar dari pengalaman. Belajar dari kesilapan. Tidak perlu menjadi ibu bapa yang terlalu sempurna di mata anak-anak, kerana kesempurnaan kita itulah punca ketidaksempurnaan anak-anak .